Sekilas
- Usahawan dan pempengaruh Ojen Aiwahhh kecewa dengan kenyataan atlet Muay Thai Johan Ghazali yang melabel kunafa sebagai 'makanan sampah'.
- Ojen menegaskan penggunaan perkataan 'sampah' keterlaluan kerana kunafa adalah sumber rezeki untuknya dan stafnya.
- Ojen juga membalas kritikan mengenai testosteron rendah dan berharap Johan menunjukkan empati serta semangat positif dalam dunia sukan.
Usahawan dan pempengaruh Ojen Aiwahhh tampil meluahkan rasa kecewa susulan kenyataan atlet Muay Thai negara Johan Ghazali yang didakwa melabel kunafa sebagai ‘makanan sampah’.
Kontroversi tersebut tercetus selepas Johan atau lebih mesra dipanggil Jojo muncul dalam sebuah podcast dan menyifatkan kunafa sebagai makanan tidak sihat kerana kandungan gulanya yang tinggi.
Walaupun Jojo tidak menyebut mana-mana jenama secara khusus, ramai netizen mula mengaitkan kenyataan itu dengan jenama Kunafa Aiwahhh milik Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli.
Menurut Ojen, dia mengakui cukup terkesan dengan isu tersebut sehingga hilang semangat sepanjang hari.
“Apa lagi yang tak kena? Ada saja yang tak puas hati dengan saya dan jenama Kunafa Aiwahhh.
“Terbaharu, Jojo pula boleh keluar kenyataan berunsur ragebait atau provokasi dengan melabelkan kunafa sebagai makanan sampah,” katanya.
Tambah Ojen, dia sebenarnya tidak kisah jika Jojo sekadar menganggap kunafa sebagai makanan manis yang kurang sihat, namun penggunaan perkataan ‘sampah’ dianggap keterlaluan.
“Kalau tak suka kunafa sekalipun, dia boleh cakap baik-baik dan jangan sewenang-wenang melabel sampah terhadap makanan termasuklah kunafa.
“Paling tidak pun janganlah cela makanan. Ia sumber rezeki untuk saya dan staf yang mencari makan dengan berniaga kunafa,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Ojen turut membalas kenyataan Jojo yang menyentuh mengenai testosteron rendah kerana penampilannya yang berperwatakan lembut.
“Saya balas balik kepadanya dengan menulis, biarlah testosteron rendah sekalipun, cukup adab dengan makanan di tahap tertinggi.
“Dalam Islam sendiri tak tekankan soal testosteron tinggi atau rendah. Kalau nak dipandang tinggi, tinggikan adab bukannya ego. Melayu kaya dengan adab,” katanya.
Malah Ojen mendakwa Jojo turut memuat naik poster sinis seolah-olah mahu bertarung Muay Thai dengannya.
“Tentu dia akan menang besar dalam perlawanan itu. Tapi saya tak boleh melihat ‘kekalahan’ saat ada yang melabel sumber rezeki saya sebagai sampah,” ujarnya.
Menurut Ojen lagi, sebelum ini pihaknya pernah menawarkan tajaan kepada Jojo, namun atlet tersebut menolaknya kerana didakwa tidak sesuai dengan imejnya.
Bagaimanapun, Ojen menegaskan dia tetap menghormati Jojo dan tidak pernah berniat mencari keuntungan semata-mata menerusi pembabitan dalam dunia sukan.
“Saya pernah menaja lima fighter termasuk Kabilan Jelevan. Pembabitan saya menaja atlet Muay Thai tempatan dibuat atas dasar mahu membantu dan menyokong arena sukan.
“Jadi tak bolehkah Jojo tunjukkan sedikit empati dan semangat positif bersama-sama? Bukannya menjatuhkan orang lain termasuk saya,” katanya.