Sekilas
- Dua Lipa dan Callum Turner sah bergelar suami isteri dalam majlis perkahwinan tertutup di Old Marylebone Town Hall, London dengan hanya tujuh hingga lapan tetamu hadir.
- Pasangan ini merancang majlis perkahwinan kedua yang lebih besar dan mewah di Sicily, Itali, yang dijangka dihadiri selebriti terkenal seperti Charli XCX, Tove Lo, dan mungkin Elton John.
- Hubungan cinta Dua Lipa dan Callum Turner mula menjadi perhatian sejak 2023 dan mereka bertunang pada Disember 2024 sebelum melangsungkan perkahwinan.
Penyanyi, Dua Lipa sah bergelar isteri kepada aktor, Callum Turner selepas pasangan itu dilaporkan melangsungkan perkahwinan dalam sebuah majlis tertutup di London.
Memetik laporan The Sun, pasangan berkenaan mengikat tali pernikahan dalam satu upacara sederhana yang berlangsung di Old Marylebone Town Hall dan hanya dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat.
Pelantun lagu New Rules itu tampil anggun mengenakan gaun putih lengkap dengan topi dan sarung tangan, manakala Callum, 35, segak dalam sut biru gelap.
Difahamkan, hanya sekitar tujuh hingga lapan tetamu hadir menyaksikan majlis tersebut, termasuk ibu dan nenek Dua Lipa.
Selesai upacara, pasangan itu dilihat meninggalkan lokasi dengan menaiki teksi hitam tradisional London sambil diraikan oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat yang menaburkan konfeti.
Seorang kakitangan pejabat pendaftaran perkahwinan itu menyifatkan majlis tersebut berlangsung dalam suasana yang cukup ringkas.
“Ada ibu dan neneknya, tidak ramai tetamu, mungkin tujuh atau lapan orang sahaja.
“Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Masuk, selesai dan terus beredar,” katanya.
Walaupun sudah sah bergelar suami isteri dari sudut undang-undang, pasangan itu dilaporkan bakal mengadakan satu lagi majlis perkahwinan yang lebih besar dan mewah di Sicily, Itali.
Majlis yang dijadual berlangsung selama tiga hari itu dikatakan akan menghimpunkan ramai selebriti terkenal termasuk penyanyi Charli XCX dan Tove Lo.
Malah, terdapat khabar angin yang mengatakan legenda muzik Elton John mungkin membuat persembahan khas sempena sambutan tersebut.
Untuk rekod, hubungan cinta Dua dan Callum mula menjadi perhatian ramai selepas mereka dikatakan mula bercinta pada tahun 2023.
Pada Disember 2024, Callum dilaporkan melamar pelantun lagu New Rules itu selepas kira-kira setahun menjalinkan hubungan.