Skip to main content

Tak Cukup Wang, Ibu Tinggalkan Anak Bersendirian Di Stesen Bas

IMG 4993

Sekilas

  • Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditinggalkan ibunya di stesen bas di Thailand kerana kekurangan wang untuk membeli tiket perjalanan pulang.
  • Kanak-kanak itu dibantu oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang membelikan tiket bas dan memberikan sumbangan wang sebanyak 500 baht.
  • Pasukan penyelamat turut memberikan nombor telefon untuk memastikan kanak-kanak tersebut boleh menghubungi mereka jika memerlukan bantuan sepanjang perjalanan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menunggu bersendirian di sebuah stesen bas selepas ditinggalkan ibunya yang tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli tiket perjalanan pulang ke kampung.

Memetik laporan Thairath, kejadian itu berlaku di Daerah Si Thep, Wilayah Phetchabun, Thailand, apabila wanita terbabit dalam perjalanan pulang ke Wilayah Chonburi bersama dua anaknya, Khamis lalu.

Menurut hantaran yang dikongsikan oleh seorang anggota penyelamat tempatan di Facebook, ibu kanak-kanak itu dan adiknya menaiki bas terlebih dahulu selepas mendapati wang yang dimiliki tidak mencukupi untuk membeli tiga tiket.

Kanak-kanak berkenaan kemudian ditinggalkan di perhentian bas berhampiran Pasar Segar Sri Thep sebelum dibantu oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung.

Pemilik hantaran tersebut, Natchakitnan Yodsai atau dikenali sebagai Chang Bia berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kanak-kanak itu daripada ketua kampung sebelum bergegas ke lokasi untuk memberikan bantuan.

Menurutnya, hasil perbualan dengan kanak-kanak terbabit mendapati dia tinggal bersama ibu dan adiknya di rumah bapa tiri.

“Difahamkan, bapa tirinya sering bertengkar dan melakukan keganasan fizikal terhadap ibunya sehingga wanita itu membuat keputusan untuk membawa anak-anak pulang ke rumah keluarganya di Chonburi.

“Namun, apabila tiba di stesen bas, mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli tiket perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, ibu kanak-kanak itu kemudian meminta anak sulungnya pulang semula ke rumah bapa tirinya yang terletak kira-kira tiga hingga empat kilometer dari stesen bas.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu enggan berbuat demikian menyebabkan penduduk kampung bersama pasukan penyelamat tampil membantu dengan membelikan tiket bas serta memberikan wang sumbangan sebanyak 500 baht (kira-kira RM60).

Mereka turut memberikan nombor telefon kepada kanak-kanak berkenaan bagi memastikan dia dapat menghubungi pasukan penyelamat sekiranya memerlukan bantuan kewangan sepanjang perjalanan pulang.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang meluahkan rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak tersebut serta memuji tindakan pantas pasukan penyelamat dan penduduk setempat yang menghulurkan bantuan.

Sumber: Sinar Harian

Anda mungkin berminat dengan

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

Must Watch Video

Advertisement