Sekilas
- Siti Nordiana mengakui berat hati untuk melepaskan anak tunggalnya, Mohd Rayyan Nakhaie, ke asrama kerana mereka sangat rapat dan jarang berjauhan.
- Walaupun risau dan ada rasa anxiety, Siti Nordiana menerima keputusan anaknya itu dengan hati terbuka demi kebaikan Rayyan.
- Dia berharap pengalaman tinggal di asrama dapat membantu Rayyan belajar berdikari dan mengejar kehidupannya sendiri.
Penyanyi, Siti Nordiana mengakui dirinya berat hati untuk melepaskan anak tunggalnya, Mohd Rayyan Nakhaie ke asrama.
Pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu berkata bahawa dia tidak pernah berjauhan dengan anaknya itu, malah hubungan mereka pula sangat rapat.
“Pada saya, itu hanyalah kerisauan bagi semua ibu-ibu. Lebih-lebih lagi saya ini pula ibu tunggal dan anak pula hanya seorang. Saya tak pernah berjauhan dengan Rayyan. Saya agak risau dan takut juga.
“Dialah penghibur saya bila di rumah. Dialah kawan baik dan kawan gaduh. Kami sangat rapat. Mungkin ini lumrah yang dirasai para ibu bila anak-anak bakal meninggalkan rumah,"katanya kepada Gempak.
Penyanyi lagu Ahai itu berkongsi perkara tersebut selepas selesai membuat persembahan di Konsert Soundstage pada Jumaat.
Meskipun terpaksa akur dengan keputusan anaknya itu, Siti Nordiana menerima perkara tersebut dengan hati yang lebih terbuka demi kebaikan anaknya.
“Pada awalnya, kita mungkin tidak biasa. Mahu atau tidak, saya kena lepaskan juga. Dia juga mahu mengejar kehidupannya sendiri.
“Asrama itu hanyalah pilihan tapi dia tetap memilih untuk tinggal di situ. Saya memang agak risau dan para ibu pasti ada rasa anxiety bila berjauhan dengan anak. Macam-macam yang kita fikirkan.
“Namun, tak mengapalah. Mungkin itu jalan yang dia pilih. Saya okay sahaja. Mungkin ini masanya dia belajar untuk berdikari. Duduk di rumah nanti, asyik manja pula.
“Kami tak pernah berenggang. Kalau tinggal pun sebab saya ada jemputan persembahan atau outstation. Untuk tinggal bersendirian, itu belum pernah lagi,” kongsinya lagi.