Sekilas
- Siti Jamumall kini berdepan beban hutang syarikat sebanyak RM3 juta selepas syarikatnya mengalami kemerosotan sejak 2023 akibat kepercayaan yang diberikan kepada pihak luar.
- Beliau memulakan kerjaya perniagaan sejak umur 17 tahun dan pernah berjaya menjana hampir RM20 juta setahun sebelum syarikat merosot.
- Siti berjanji akan berusaha menyelesaikan hutang tersebut dan mengajak peniaga yang belum dibayar untuk menghubunginya bagi menyelesaikan urusan tertunggak.
Pempengaruh media sosial dan usahawan, Siti Jamumall tidak dapat menahan sebak apabila mendakwa dirinya kini berdepan beban hutang syarikat yang mencecah RM3 juta.
Menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, pemilik nama Siti Suriani Wahiddin ini mendakwa keputusan mereka yang menyerahkan segala urusan syarikat kepada pihak lain menyebabkan mereka terpaksa menanggung bebanan hutang yang banyak.
Tambahnya, segalanya bermula selepas syarikat yang diusahakan mengalami kemorosotan sekitar tahun 2023 dan 2024.
“2023, 2024, bisnes saya drop, sebab apa? Kepercayaan. Saya bagi kepercayaan pada orang luar untuk urus company saya.
“Sekarang, saya terpaksa menanggung segala masalah yang ada.
“Saya tak tahu siapa yang menyeleweng duit ke apa semua itu, yang pecah amanah dalam syarikat, saya tak tahu.
“Dan saya terpaksa tanggungjawab sebab syarikat ini ada nama saya juga,” katanya.
Mengimbau semula perjalanannya dalam dunia perniagaan seawal usia 17 tahun, Siti berkata dia kini terpaksa memikul tanggungjawab selepas namanya turut berada dalam syarikat berkenaan.
“Saya mula buat live masa umur saya 17. Saya masuk dalam syarikat abang saya masa itu. Saya tolong abang saya.
“Abang saya ini seorang kelainan upaya (OKU). Dia buat bisnes. Hasil duit itu lah juga dia besarkan adik-adik dia. Saya tak sanggup tengok abang saya susah. Saya tinggalkan SPM saya, saya pergi ikut dia, saya buat live.
“Dua tahun saya selesaikan hutang abang saya, hampir 1 juta. Selepas selesai, saya ‘fly’. Company making money almost 20 million setahun sebelum syarikat kami merosot dalam masa beberapa tahun sahaja,” kongsinya.
Walau bagaimanapun, Siti memaklumkan bahawa dia akan berusaha sedaya upaya untuk memikil tanggungjawab ini dan menyelesaikan segala hutang.
“Saya akan cuba usahakan selagi mana yang saya mampu. Ini mungkin silap saya, mungkin sebab ada benda saya tak tengok, ada benda yang saya anggap remeh, saya tak perhatikan,” katanya.
Sementara itu, setakat artikel ini ditulis, Siti belum memberikan sebarang maklum balas sejak dihubungi Gempak.
Terdahulu, Siti tidak dapat menahan sebak apabila memaklumkan dia kini terpaksa menanggung hutang sebanyak RM3 juta.
Siti juga memohon maaf dan meminta mana-mana pihak atau peniaga yang masih belum mendapat sebarang bayaran daripada syarikat untuk menghubunginya bagi menyelesaikan segala urusan yang tertunggak.
Sumber: TikTok