Sekilas
- Karamjit Singh, pelumba rali legenda Malaysia, mencipta sejarah sebagai juara FIA Production Car World Rally Championship (PWRC) pertama dari Asia pada tahun 2002.
- Beliau juga menjuarai Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) sebanyak tiga kali dan dikenali dengan hubungan rapat bersama jenama automotif tempatan, Proton.
- Kisah perjuangan Karamjit akan diangkat ke layar perak menerusi filem TERBANG yang dijadualkan tayang pada tahun 2026, menampilkan barisan pelakon popular tempatan.
Tidak ramai yang tahu bahawa Malaysia pernah mencipta sejarah dalam sukan rali dunia apabila muncul sebagai juara di pentas antarabangsa.
Kejayaan tersebut membuktikan bahawa bakat tempatan mampu berdiri setanding dengan pelumba hebat dunia, sekali gus mengharumkan nama negara dalam arena sukan permotoran.
Pencapaian yang membanggakan itu diraih oleh seorang figura hebat iaitu pelumba rali legenda Malaysia, Karamjit Singh.
Digelar ‘Flying Sikh’ kerana gaya pemanduannya yang berani dan agresif, Karamjit memulakan kerjaya dalam dunia rali seawal tahun 1984 sebelum mencipta nama di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Juara dunia pertama dari Asia
Kemuncak kerjayanya hadir pada tahun 2002 apabila beliau mencipta sejarah sebagai pelumba Asia pertama menjuarai FIA Production Car World Rally Championship (PWRC) pada percubaan sulung.
Kejayaan itu bukan sahaja melonjakkan namanya ke peringkat global, malah meletakkan Malaysia dalam peta sukan rali dunia.
Selain gelaran dunia tersebut, beliau turut menjuarai Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2001, 2002 dan 2004 sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai legenda rali Asia.
Sepanjang kariernya, Karamjit juga sinonim dengan jenama automotif tempatan, Proton dan pernah memandu model seperti Proton Satria GTi serta Proton Putra dalam pelbagai kejohanan utama.

Kisah diangkat ke layar perak
Kisah perjuangan luar biasa itu kini bakal diangkat ke layar perak menerusi filem TERBANG yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup legenda rali negara tersebut.
Filem itu mengisahkan bagaimana Karamjit bersama pasukan underdog Malaysia, PERT Team berjaya mengharumkan nama negara dalam dunia perlumbaan rali.
Sekadar info, TERBANG dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada tahun 2026.
Filem arahan Chiu Keng Guan itu menampilkan barisan pelakon seperti Irfan Zaini, Jack Tan, Zizan Razak, Nam Ron, Shweta Sekhon dan Diana Danielle.