Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut apabila menumbangkan lawannya dari Maghribi, Zakaria El Jamari pada aksi ONE Fight Night 35: Buntan vs Hemetsberger di Stadium Lumpinee, Thailand, pada Sabtu
Bertarung dalam kategori Flyweight Muay Thai, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo, hanya memerlukan kira-kira dua minit untuk menamatkan perlawanan selepas melepaskan siri tumbukan padu yang membuatkan Zakaria rebah.
Advertisement
Sejak awal pertarungan, Jojo tampil agresif dengan asakan bertubi-tubi, memaksa lawannya lebih banyak bertahan sebelum akhirnya akur tidak lagi mampu menahan serangan.
Pengadil tidak mengambil masa lama untuk menghentikan pertarungan sekali gus mengesahkan kemenangan Technical Knockout (TKO) buat Jojo.
Kemenangan ini menyaksikan Jojo kembali ke landasan kemenangan selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Johan ‘Panda Kick’ Estupinan dan Diego Paez.
Ia juga menambah koleksi rekod cemerlangnya dengan tujuh kemenangan daripada 10 pertarungan sejak menyertai ONE Championship.
Sumber: Sinar Harian