Sekilas
- Iman Troye beri penjelasan tentang komen beliau berhubung video kecemasan yang dikongsi oleh pempengaruh Ryzal Ibrahim mengenai anaknya yang tidak sedarkan diri.
- Iman faham perasaan seorang bapa dan melihat perkongsian itu sebagai cara untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang situasi kecemasan anak.
- Beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak cepat menghukum dan mengambil pengajaran positif dari kejadian tersebut.
Penyanyi, Iman Troye tampil memberi penjelasan mengenai komen yang ditinggalkannya berhubung isu melibatkan pempengaruh dan usahawan, Ryzal Ibrahim yang menerima kecaman selepas berkongsi video detik cemas ketika membawa anaknya ke hospital, baru-baru ini.
Menurut Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, sebagai seorang yang mempunyai beberapa orang anak saudara, komen tersebut ditinggalkan kerana dia memahami perasaan Ryzal sebagai seorang yang bapa.
“Saya sendiri ada tiga anak buah dan saya tahu macam mana perasaan ibu bapa bila tengok anak jatuh tak sedarkan diri macam tu.
“Mungkin ada sebab kenapa Abang Ryzal kongsi perkara itu di media sosial. Topik ini sangat sensitif dan setiap orang ada pendapat masing-masing. Kita tak boleh paksa orang yang ada pendapat A ikut pendapat B dan sebaliknya,” katanya kepada Gempak.
Iman berkongsi perkara tersebut ketika di majkis pelancaran SPOTLIGHT KL CONVENTION CENTRE bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini.
Tambah pelantun lagu Nang ini, tindakan Ryzal yang merakam dan memuat naik video tersebut hanyalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa lain mengenai situasi kecemasan mungkin berlaku kepada anak-anak.
“Mungkin dia sendiri trauma dengan apa yang berlaku sebab dia seorang bapa. Bila tengok anak dalam keadaan begitu, sudah tentu ia memberi kesan kepada dirinya.
“Saya sendiri belajar sesuatu daripada video itu. Kalau jadi pada anak, apa yang perlu dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat sementara menunggu rawatan kecemasan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Iman menitipkan pesan kepada masyarakat untuk memandang perkongsian itu dari sudut yang positif dan terlalu cepat menghukum.
“Saya rasa benda itu mengajar sesuatu bukan untuk saya sahaja, tetapi juga untuk ibu bapa di luar sana. Yang baik kita ambil, yang buruk kita ketepikan. Manusia memang takkan lari daripada melakukan kesilapan.
“Menegur itu boleh, tetapi dengan cara yang baik sebab kita pun manusia dan tak pernah lari daripada buat silap.
“Janganlah senang-senang menghukum. Kita doakan yang baik-baik dan cakap yang baik-baik sebab dosa dengan Allah mungkin boleh diampunkan, tetapi dosa dengan manusia itu kita belum tahu,” ujarnya.
Pada Selasa, Ryzal menyorot perhatian apabila berkongsi mengenai detik cemas mengenai anaknya, Rian yang dilaporkan tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil.
Menerusi perkongsian yang dibuat, Ryzal memuat naik video detik cemas memaparkan isterinya, Maryam You Nare yang memangku Rian ketika dalam perjalanan ke unit kecemasan sebuah hospital.
Kata Ryzal, Rian pada mulanya menangis dengan sangat kuat sebelum tiba-tiba mendiamkan diri dengan mata tertutup tanpa memberikan sebarang respons.