Skip to main content

Badminton

Cheah Liek Hou Dinobat Pemain Para Lelaki Terbaik Dunia 2025 - “Ini Kali Pertama Saya…”

Cheah Leik Hou pemain para terbaik dunia 2025

Sekilas

  • Cheah Liek Hou dinobatkan sebagai Pemain Para Lelaki Terbaik Dunia 2025 pada Majlis Gala BWF di Hangzhou, China.
  • Beliau juga bersama Mohd Fareez Anuar meraih gelaran Beregu Para Terbaik Dunia 2025.
  • Cheah Liek Hou pernah diangkat dalam filem Gold yang mengisahkan perjuangannya mengatasi penyakit Erb's Palsy dan cabaran dalam sukan badminton paralimpik.

Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou telah merangkul dua anugerah pada Majlis Gala Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China malam tadi.

Pemenang dua kali pingat emas Sukan Paralimpik itu meraih gelaran Pemain Para Lelaki Terbaik Dunia 2025 menewaskan pencabarnya Daiki Kajiwara dari Jepun, Kumar Nitesh (India) dan Park Hae Seong (Korea Selatan).

Lebih manis, pemain nombor satu dunia berusia 37 tahun itu turut diiktiraf Beregu Para Terbaik Dunia 2025 bersama gandingannya Mohd Fareez Anuar.

"Ini kali pertama saya memenangi anugerah ini dan ia sangat bermakna.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada BWF atas pengiktirafan yang diberikan sebagai seorang daripada Pemain Terbaik 2025,” katanya yang dipetik menerusi laman web BWF.

Bagi kategori utama, Shi Yu Qi dari China turut meraih dua anugerah iaitu pemain perseorangan terbaik lelaki sekali gus melayakkan pemain berusia 29 tahun itu diiktiraf Pemain Lelaki Terbaik Dunia 2025.

Bintang Korea Selatan An Se Young turut dinobatkan pemain perseorangan wanita terbaik sekali gus diangkat Pemain Wanita Terbaik Dunia 2025.

Sementara itu, bagi kategori beregu lelaki, gandingan Korea Selatan Kim Won-ho-Seo Seung-jae diiktiraf Beregu Lelaki Terbaik Dunia 2025 menewaskan dua pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Kategori beregu wanita menjadi milik beregu China Liu Sheng Shu-Tan Ning manakala Beregu Campuran Terbaik Dunia diraih pasangan Thailand Dechapol Puavranukroh-Supissara Paewsampran.

Untuk info, sebelum ini Astro Shaw pernah mengangkat kisah perjalanan hidup jaguh badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou ini menerusi filem Gold

Ketika dia berusaha untuk menempatkan namanya dalam arena sukan nasional, beliau didapati menghidap penyakit saraf yang dikenali sebagai Erb's Palsy.

Kehilangan ayah sebagai penyokong kuatnya juga membuatkan Liek Hou hilang arah.

Namun, apabila acara Paralimpik dunia mengiktiraf badminton sebagai sukan yang akan dipertandingkan di Tokyo, Liek Hou bangkit semula dengan bantuan jurulatih dan pemain legenda Malaysia, Rashid Sidek.


Sumber: Sinar Harian menerusi Bernama

Must-Watch Video

Advertisement