Sekilas
- Pelakon Qi Razali berkongsi kehidupan berubah 360 darjah selepas menjadi bapa kepada puteri sulungnya, Anggun Sumayyah.
- Qi terinspirasi menghasilkan lagu khas bertajuk "Yang Pertama" yang memuatkan suara tangisan anaknya sebagai kenangan peribadi.
- Lagu tersebut dijangka dilancarkan pada Ogos nanti sempena hari jadi Qi, sambil dia terus menghabiskan masa berkualiti dengan Anggun melalui muzik.
Pelakon, Qi Razali mengakui kehidupannya berubah selepas bergelar seorang bapa.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 49, berkata kehadiran cahaya mata pertamanya, Anggun Sumayyah memberikan makna baru dalam dirinya.
“Hidup saya berubah 360 darjah. Saya tak sangka perkara ini akan berlaku dalam hidup saya. Pada usia awal 40-an, saya sudah reda dan fikir mungkin perkahwinan atau anak bukan untuk saya.
“Tetapi apabila Anggun hadir, dia memberikan satu makna baharu dalam hidup saya. Sekarang setiap benda kita buat, kita fikirkan dia. Tapi isteri saya tetap nombor satu, cuma sekarang bila ada anak, kita ada perasaan yang susah nak diluahkan.
“Memang seronok jadi ayah. Seronok bila kita dukung dia, kita tengok dia, kita senyum pada dia. Lepas itu, dia tengok kita balik, perasaan itu yang susah nak digambarkan,” katanya.
Pada masa sama, Qi juga berkongsi kehadiran puteri sulungnya ini memberi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan lagu istimewa buat Anggun.
“Kalau saya main muzik, dia berhenti menangis. Dia suka dengan bunyi bunyian, dia suka muzik. Jadi saya ada buat lagu untuk dia tapi tak siap lagi. Tajuknya Yang Pertama.
“Saya buat ketika saya menjaga dia. Kalau tak pun, ketika dia dengan mak dia, atau ketika buat kerja, buka iPhone sambil tengok dia. Saya rakam momen-momen yang berlaku sejak dia lahir dan semua itu saya mahu abadikan dalam lagu,” ujarnya.
Qi juga berkata lagu berkenaan bukan sahaja memuatkan lirik yang ditulis sendiri, malah turut diselitkan suara tangisan Anggun bagi menjadikan karya itu lebih peribadi dan bermakna.
“Ada suara tangisan dia dimasukkan dalam lagu itu. Bila saya dengarkan kepada isteri, dia pun sebak. Jadi saya rasa lagu ini okaylah.
“Insya-Allah mungkin saya akan keluarkan lagu ini pada Ogos nanti sempena hari jadi saya,”katanya.
Tambah Pelakon filem Babah ini, muzik turut menjadi salah satu rutin hariannya bersama Anggun kerana anaknya itu gemar mendengar pelbagai bunyi dan lagu.
“Saya pasang piring hitam dan menari dengan dia. Kalau dia menangis pun, bila dengar muzik dia akan berhenti menangis. Saya juga selalu bermain gitar untuk dia. Jadi daripada situlah lahirnya idea untuk menghasilkan lagu khas ini,” katanya.
Terdahulu, Qi mendirikan rumah tangga dengan Wardah Hayati pada 25 Mei 2025. Mereka dikurniakan cahaya mata pertama pada pada 23 Januari lalu.