Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarahnya tersendiri apabila wajahnya kembali menghiasi papan iklan digital ikonik di Times Square, New York, selepas hampir empat tahun.
Momen membanggakan itu dikongsi sendiri oleh Siti Nurhaliza menerusi satu hantaran di Instagram.
“Terima kasih Spotify, SpotifySG dan SpotifyMY atas sokongan dan paparan papan iklan ini,” tulisnya.
Dalam masa sama, penyanyi tersohor itu turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan terhadap kerjayanya sejak dahulu lagi.
“Dan terima kasih kepada peminat-peminat saya atas kasih sayang dan sokongan yang berterusan,” tambahnya.
Terdahulu, pelantun lagu Kesuma itu pernah menghiasi papan digital itu bagi kempen EQUAL pada tahun 2022.
Selain Siti Nurhaliza, antara penyanyi wanita yang pernah mendapat peluang sama antaranya Iman Troye, Aisha Retno, Misha Omar, Dolla, Layla Sania, Yuna, Ernie Zakri, Aina Abdul dan Misha Omar.