Skip to main content

Lakonkan Watak Rashid Sidek, Kim Azzim Menggeletar Teruja - "Memang Tak Sangka, Jadi Saya Perlu Gandakan Latihan Badminton"

kim_azzim

Sekilas

  • Pelakon Kim Azzim teruja diberi peluang membawa watak Datuk Rashid Sidek dalam filem Sentuhan Wira yang mengangkat sejarah kemenangan Piala Thomas 1992.
  • Kim menganggap peranan ini sebagai pencapaian peribadi dan berjanji mencurahkan sepenuh jiwa untuk menghormati kisah wira negara.
  • Proses pemilihan Kim bermula dengan uji bakat di mana Rashid sendiri berada di kerusi juri, menjadikan pengalaman itu lebih bermakna bagi pelakon yang aktif dalam sukan badminton sebelum ini.

Pelakon Kim Azzim meluahkan rasa teruja dan berbesar hati apabila diberikan kepercayaan untuk membawakan watak bekas pemain badminton negara, Datuk Rashid Sidek dalam filem terbaharu berjudul Sentuhan Wira.

Kim atau nama penuhnya Nik Muhammad Azzimuddin Sulusna, 24, menyifatkan peluang itu sebagai satu pencapaian peribadi yang cukup bermakna, apatah lagi watak berkenaan berkait rapat dengan sejarah gemilang sukan negara.

Menurut Kim, filem tersebut bukan sekadar karya seni, sebaliknya membawa kembali memori kebanggaan rakyat Malaysia ketika skuad negara mencipta sejarah menjuarai Piala Thomas 1992.

“Ini adalah satu pencapaian peribadi buat saya serta memori besar untuk negara. Saya berpeluang menyelami perjalanan hidup Datuk Rashid Sidek dan menghidupkan kembali detik bersejarah kemenangan Piala Thomas 1992 milik Malaysia.

“Dalam setiap babak dan setiap detik, saya akan mencurahkan sepenuh jiwa untuk menghormati kisah ini, para wira, serta rasa bangga kepada negara," katanya.

Dalam masa sama, Kim berkata, pada awalnya dia disenaraikan untuk watak lain, namun kemudian dimaklumkan bakal menggalas peranan sebagai Rashid.

“Saya anggap semua ini rezeki apabila dimaklumkan karakter yang akan saya galas nanti adalah watak Rashid sendiri. Sudah tentu gembira dan gementar bercampur baur kerana ini cabaran besar.

“Walaupun pernah aktif dalam sukan badminton, saya perlu gandakan latihan sebelum masuk set penggambaran yang dijadualkan sekitar awal tahun depan,” katanya.

Bercerita mengenai proses pemilihannya dalam filem itu, Kim berkata, dia menghadiri uji bakat dan tidak menyangka Rashid berada di kerusi juri ketika itu.  

“Melihat idola di depan mata, bertemu dan bersalam dengan beliau, tiba-tiba saya menggeletar kerana terlalu teruja. Memang tak sangka dapat jumpa tokoh sukan yang menjulang Piala Thomas.

“Ketika zaman sekolah sehingga kolej saya aktif dalam sukan badminton malah dapat mewakili pusat pengajian ke peringkat negeri. Apabila dapat bertemu beliau, seterusnya menggalas wataknya, ini adalah impian yang tertunai,” katanya.

Filem terbitan Victory Pictures itu mengangkat detik emas negara merangkul Piala Thomas pada 1991 juga cetusan dua legenda badminton negara, Rashid dan Soon Kit.

Must-Watch Video

Advertisement