Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, mendedahkan pengalaman getir ketika ditahan tentera Israel semasa menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Menurut Zizi, insiden berlaku ketika pemeriksaan pasport di mana dia dengan berani menegur tindakan biadab tentera Israel yang seolah-olah mempersendakan rakyat Malaysia.
Advertisement
“Ketika ditahan, kami dibawa ke tempat pemeriksaan pasport. Di situ saya dapat keberanian walaupun mereka (tentera Israel) sangat gembira dan teruja menerima kehadiran orang Malaysia.
“Bila saya sampai mereka cakap ‘welcome to Israel, have you been to Israel before?’ (selamat datang ke Israel, adakah anda pernah ke Israel sebelum ini?).
“Dengan berani, yakin dan kekuatan Allah beri, saya cakap kepada mereka ‘you should open and read the first page in our passport that you not recognise in our country’ (anda perlu buka dan lihat halaman pertama pasport kami bahawa anda tidak diiktiraf di negara kami),” kongsinya.
Zizi berkata demikian pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Rabu.
Tambah Zizi, tindakannya itu nyata mengundang kemarahan pihak Zionis sehingga menyebabkan dirinya diperlakukan secara kasar, dipisahkan daripada kumpulan, dan dibawa secara paksa ke tempat lain.
“Disebabkan itu mereka campak pasport saya dan kemudian heret saya ke meja seterusnya. Tapi Allah beri kekuatan untuk saya tak mengalah,” ujarnya.
Sebelum ini Zizi antara 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bagi memecahkan sekatan dibuat Israel terhadap Palestin.
Bagaimanapun, ketika pelayaran ke Gaza, kapal mereka mereka dipintas Tentera Israel dan ditahan selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye.
Malam tadi, Himpunan Solidariti Bersama Gaza diadakan sebagai usaha Perdana Menteri menyambut kepulangan 23 sukarelawan GSF yang selamat kembali ke tanah air selepas ditahan tentera Israel.
Himpunan itu juga bertujuan menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin, selain menjadi wadah memupuk kesedaran mengenai nasib menimpa Palestin dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Himpunan Solidariti Bersama Gaza turut menampilkan pemidato lain yang merangkumi aktivis GSF Malaysia. Antara mereka adalah Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), Muhamad Abdullah (Ustaz Mad Kecik) dan Nadir Al-Nuri.