Sekilas
- Zehra Zambri sedang berjuang di mahkamah untuk menuntut nafkah dan mutaah daripada bekas suaminya yang tidak membayar sejak mereka bercerai pada Ogos tahun lalu.
- Bekas suami Zehra masih enggan memberi nafkah walaupun Zehra bersedia menerima jumlah RM1,000 sebulan demi anak mereka yang bakal masuk tadika.
- Zehra berharap Ramadan ini bekas suami akan berlembut hati, namun dia tetap komited menggunakan saluran undang-undang untuk memastikan hak anaknya terjaga.
Meskipun masih belum mendapat pekerjaan tetap, penyanyi Zehra Zambri, 39, bersedia untuk turun naik mahkamah bagi mendapatkan pembelaan hak nafkah dan mutaah yang difailkan terhadap bekas suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 43.
Zehra ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, berkata, saluran undang-undang diambilnya adalah tindakan tepat berikutan tidak pernah mendapat bayaran nafkah sejak bercerai pada 20 Ogos tahun lalu.
"Saya kena berjuang untuk yang ini (tuntutan nafkah) sebab dah lapan bulan juga bekas suami tidak beri sesen pun kepada anak saya.
"Sebab dalam tempoh selepas kami bercerai, saya ada juga berhubung dengan dia (bekas suami) untuk minta 'claim' apa yang patut sudah saya keluarkan (kewangan untuk anak) sebelum ini, tapi banyak sangat alasan.
"Hingga saya rasa dah tak boleh dah (hendak berbincang), Kita kena gunakan saluran undang-undang untuk dapatkan hak ini (nafkah). Walaupun saya tahu benda ini akan makan masa, tapi inilah peluang untuk saya meneruskan kelangsungan hidup bersama anak.
"Saya pun belum ada kerja tetap, tetapi saya juga perlu menafkahi anak saya yang akan masuk ke sekolah (tadika) selepas ini. Jadi, benda ini memang menyesakkan saya sebenarnya," kata Zehra kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia sangat berharap pada bulan Ramadan ini dapatlah bekas suami berlembut hati untuk menyelesaikan nafkah tertunggak itu, namun nampaknya pihak terbabit tetap berkeras.
"Dalam tempoh perkahwinan saya dengan dia (bekas suami) selama tiga tahun sembilan bulan, terlalu banyak sudah saya lakukan, dengan saya korbankan dari segi wang ringgit khususnya dan saya rasa benda ini sudah membebankan.
"Saya sendiri juga sebelum ini pernah keluarkan kenyataan saya nak bekerja dan sebagainya sebab dia (bekas suami) tidak memberi kerjasama. Kalau dendam pada saya sekalipun, saya nak sekurang-kurangnya untuk anak saya.
"Tapi, bila anak pun sedikit tidak peduli, saya rasa tak bolehlah. Saya rasa benda ini (nafkah) perlu kita berjuang," katanya memaklumkan sejak perceraian bekas suami baru sekali bertemu dengan anak pada 8 Januari lalu.
Zehra berkata dia berasa sedih apabila bekas suami juga seolah-olah tiada simpati terhadap anak mereka apabila dimaklumkan agar membeli makanan serta menuntut semula jumlah kewangan yang sudah dikeluarkannya untuk anak.
Menurut penyanyi lagu Semalakama ini lagi, ketika proses perceraian itu ditetapkan agar bekas suami membayar RM1,700 sebulan untuk nafkah anak meliputi makan minum serta perbelanjaan untuk anak masuk persekolahan nanti.
Bagaimanapun ketika proses sulh atau mediasi pada 8 Januari lalu, Zehra memberitahu dia ada berbincang dengan bekas suami agar memberi RM1,000 nafkah anak setiap bulan pun okay, namun tetap tidak dihiraukan oleh Nur Mohd Iqwan.
Terdahulu, Zehra dan Nur Mohd Iqwan yang bertemu jodoh kali kedua berkahwin pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Zahiyah Iqleela, 3.
Namun, Zehra memfailkan permohonan perceraian terhadap Nur Mohd Iqwan pada 7 Mac tahun lalu kerana sudah tiada persefahaman dan mereka sah bercerai pada Ogos, tahun yang sama.
Sumber: Harian Metro