Sekilas
- Zarina Zainuddin berkongsi perbualan menyentuh hati dengan anak istimewanya, Azal, yang meluahkan rasa bimbang tentang kehilangan ibu tercinta.
- Azal faham konsep kehilangan dan meminta agar ibunya tidak pergi dulu, walaupun dia tahu hidup perlu diteruskan selepas itu.
Pelakon, Zarina Zainuddin berkongsi perbualan menyentuh hati antara anak istimewanya Azal mengenai kehidupan.
Menurut Zarina, perbualan tersebut berlaku secara spontan apabila Azal meluahkan rasa bimbang tentang kehilangan ibu tercinta.
Malah kata Zarina, Azal pernah meminta agar dirinya tidak ‘pergi’ terlalu cepat.
“Dia pernah cakap, ‘ibu jangan mati dulu’. Saya jawab dekat dia, Azal, satu hari nanti ibu akan pergi dulu. Ibu akan mati dulu sebab ibu dah tua. Kalau ibu mati, Azal nangis tak?
“Dia cakap ‘saya nangis ibu tapi saya nangis sekejap sahaja hidup perlu diteruskan,” kongsinya ketika ditemui Gempak.
Tambah Zarina lagi, Azal kini sudah memahami konsep kehilangan, namun apa yang lebih menyentuhnya adalah apabila anaknya itu membuat permintaan agar perkara itu tidak berlaku dalam masa terdekat.
“Dia sebenarnya dah boleh terima satu hari nanti mak dia akan pergi. Dia tahu benda itu tapi dia cakap jangan mati sekarang.
“Maksudnya jangan mati dulu. Tapi apa-apa pun dia kata hidup perlu diteruskan. Kalau dia dah cakap macam tu, bagi saya kita kena reda apa yang Allah bagi pada kita,” katanya.
Untuk info, ketika berusia tiga tahun Azal disahkan sebagai autisme sederhana, manakala kembarnya Azil adalah autisme tahap hiper.
Kedua-duanya dikenali ramai setelah Zarina sering berkongsi perjalanan serta pengalamannya sebagai seorang ibu kepada sepasang kembar autisme di media sosial.