Sekilas
- Wali Band dari Tangerang, Indonesia akan mengadakan Konsert Wali Live di Kota Kinabalu pada 12 April 2026 di Sabah International Convention Centre.
- Konsert ini adalah usaha mereka menebus kekecewaan peminat Sabah selepas konsert yang dirancang pada 2024 tidak jadi berlangsung.
- Tiket dijual mulai 12 Februari 2026 dengan harga bermula RM98 hingga RM688 dan boleh dibeli di www.ilassotickets.com.
Band popular dari Tangerang, Indonesia, Wali Band bakal kembali menggegarkan pentas Sabah menerusi Konsert Wali Live in Kota Kinabalu yang dijadual berlangsung di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu pada 12 April 2026.
Menyedari kekecewaan peminat di Sabah apabila konsert mereka yang dirancang pada 2024 tidak menjadi kenyataan, Wali Band hadir dengan azam baharu untuk menunaikan janji yang tertangguh.
Kumpulan yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) itu bakal beraksi dalam konsert anjuran 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures, sekali gus menandakan kepulangan mereka ke negeri di bawah bayu.

Menurut vokalisnya, Faank, mereka memahami perasaan peminat yang menantikan kehadiran Wali Band sebelum ini.
“Kami turut merasakan kekecewaan itu. Namun, apa yang berlaku ketika itu berada di luar kawalan kami dan kami sendiri tidak mengetahui punca konsert tersebut tidak dapat direalisasikan.
“Apabila menerima tawaran daripada pihak penganjur, 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures, untuk menjayakan konsert di Kota Kinabalu, kami melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menebus kembali kekecewaan peminat,” jelasnya.
Faank turut mengakui mungkin ada peminat yang masih berasa ragu-ragu selepas insiden terdahulu.
“Apa yang boleh kami katakan, tunggu sahaja kehadiran kami nanti. Kami tidak sabar untuk beraksi di hadapan kalian semua,” katanya lagi.
Konsert ini dijangka menjadi momen istimewa buat peminat Sabah yang sudah lama menantikan lagu-lagu popular seperti Cari Jodoh, Yank, Baik Baik Sayang dan Nenekku Pahlawanku dipersembahkan secara langsung.
Tiket Konsert Wali Live in Kota Kinabalu mula dijual pada 12 Februari 2026 dengan harga RM688 (Cari Jodoh – VIP), RM488 (Yank – Gold), RM288 (Baik Baik Sayang) dan RM98 (Nenekku Pahlawanku). Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.ilassotickets.com.