Sekilas
- Pelakon Uqasha Senrose sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Kamal Adli, dan tiada hasrat untuk rujuk buat masa ini.
- Uqasha fokus untuk meneruskan kehidupan bersama anak perempuannya dan melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.
- Dia mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang memberi sokongan sepanjang proses perceraian dan berharap dapat terus kuat menghadapi masa depan.
Pelakon Uqasha Senrose belum mempunyai sebarang hasrat untuk kembali rujuk dengan bekas suaminya, Kamal Adli, selepas mereka sah bercerai talak satu, hari ini.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, berkata buat masa ini fokus utamanya adalah untuk meneruskan kehidupan bersama anak perempuannya dan melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.
“Buat masa ini, memang tiada istilah mahu rujuk. Soal ke depan kita tak tahu, masa depan pun kita tak boleh jangka.
“Tetapi apa boleh saya cakap sekarang, saya nak melangkah ke depan sahaja. Ke depan dan terus ‘move on’,” katanya ketika ditemui selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mengulas perasaannya selepas sah bercerai, Uqasha mengakui dia tidak terkejut dengan keputusan tersebut memandangkan permohonan perceraian dibuat atas kehendaknya sendiri.
“Perasaan ini bukan terkejut, memang sudah dijangka sebab saya sendiri failkan permohonan.
“Cuma ini perkara baharu untuk saya. Nak hadam semua ambil sedikit masa sebelum boleh bercakap dengan tenang.
“Apa pun, doakan saya bersama anak supaya terus melangkah ke depan,” ujarnya.
Tambah pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, dia memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai perceraian yang berlaku dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada masa depan.
“Kami pernah bergelar suami isteri dan sekarang sudah jatuh satu talak. Saya tak tahu apa lagi nak diperkatakan.
“Apa yang saya tahu, saya mahu melangkah ke depan untuk 2026. Perkara tadi sudah berlaku dan lafaz pun sudah dibuat.
“Saya cuma doakan dia menjadi insan lebih bertanggungjawab,” luahnya.
Dalam pada itu, Uqasha turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga yang setia memberikan sokongan sejak awal proses perceraian sehingga ke hari ini.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga, dari saat pertama sampai sekarang.
“Mama, papa, adik-beradik, mak cik, pak cik, semua ada bersama saya.
“Apa pun, doakan saya dapat teruskan hidup dengan aman, reda dan melangkah ke depan dengan tenang,” katanya.
Menyentuh mengenai statusnya sebagai ibu tunggal selepas ini, Uqasha mengakui dia sudah biasa menggalas tanggungjawab bekerja dan menguruskan anak secara serentak.
“Saya serba salah sebenarnya. Cakap salah, tak cakap pun salah.
“Apa boleh saya katakan, setahun ini saya bekerja dan menjaga anak serentak. Jadi tiada masalah untuk saya.
“Cuma doakan saya terus kuat untuk melangkah ke depan,” ujarnya.
Terdahulu, Uqasha dan Kamal Adli sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pukul 12.56 tengah hari Isnin.
Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie Puan Siti Noraini Mohd. Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Mahkamah turut memerintahkan Uqasha menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula dari tarikh lafaz talak dibuat serta mendaftarkan perceraian mereka.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang selepas lima bulan bertunang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada 27 April 2024.