Konsert Dolla: Good Girls Gone Bad, Live In Concert mencuri perhatian ramai apabila jualan tiketnya menerima sambutan hangat daripada peminat di Malaysia dan Singapura.
Faktor utama yang menjadi bualan ialah harga tiket yang ditawarkan pada kadar mesra poket, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk peminat hadir menyaksikan persembahan secara langsung.
Advertisement
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, keputusan mengekalkan harga tiket pada kadar berpatutan dibuat demi memastikan muzik dapat dinikmati semua golongan tanpa mengira latar belakang.
“Kami sedar keadaan ekonomi semasa dan percaya muzik sepatutnya menjadi penghubung, bukan penghalang.
"Atas sebab itu, SAH Entertainment menetapkan harga tiket mampu milik agar lebih ramai dapat merasai sendiri pengalaman menonton persembahan Dolla secara langsung,” jelasnya.

Konsert ini akan berlangsung di dua lokasi utama iaitu di Capitol Theatre, Singapura (22 November 2025) dan IDEALive Arena, Petaling Jaya, Malaysia (6 Disember 2025).
Dianggotai tiga ahli berbakat iaitu Tabby, Angel dan Sabronzo, Dolla berjanji memberikan persembahan yang penuh bertenaga buat peminat setia mereka.