Sekilas
- Tiket konsert mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun hampir habis dijual dengan 60 peratus tiket sudah terjual.
- Senario akan menyampaikan lebih 20 lagu termasuk lagu raya dan menampilkan artis jemputan dalam konsert pada 25 April di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
- Persiapan konsert sedang giat dijalankan dengan latihan bersama band, penari, dan segmen lawak untuk memastikan persembahan terbaik.
Tiket konsert mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun dilaporkan hampir habis apabila kira-kira 60 peratus telah terjual.
Mewakili kumpulan tersebut, Azlee Jaafar berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak jualan tiket dibuka.
“Alhamdulillah, tadi dah dimaklumkan tiket kita dah hampir selesai untuk dijual, sudah 60 peratus terjual. Tinggal sikit-sikit saja lagi tempat duduk yang masih belum sold out,” katanya.
Dalam pada itu, Azlee memberi jaminan Senario akan memberikan persembahan terbaik memandangkan konsert tersebut bakal menghimpunkan perjalanan seni mereka sepanjang tiga dekad.
“Insya-Allah kami akan bagi yang terbaik sebab Senario ada banyak lagu dan banyak album. Jadi mungkin kami akan menyanyikan lebih daripada 20 lagu.
“Termasuk juga lagu raya yang boleh disampaikan sebab konsert ini berlangsung pada hujung-hujung bulan Syawal. Semestinya kami juga akan menampilkan artis-artis jemputan yang akan ditentukan oleh pihak penganjur, Dreamscape,” jelasnya.
Menurut Azlee, konsep keseluruhan konsert masih dalam perbincangan bersama penganjur bagi memastikan ia memenuhi jangkaan peminat.
Mengulas mengenai persiapan, Azlee berkata jadual latihan kumpulan sudah bermula sejak awal tahun dan semakin padat menjelang konsert.
“Bulan Februari ini kami memang sibuk. Sebelum puasa pun kami dah sibuk dengan persiapan. Kami ada tiga fasa latihan.
“Pertama latihan bersama band, kedua latihan dengan penari-penari yang telah diaturkan oleh Dreamscape dan ketiga, sudah tentu latihan melibatkan elemen lawak serta segmen khas yang memerlukan persediaan rapi.
“Cuma kami mohon doa agar semua ahli sihat dan dapat memberikan segmen terbaik untuk peminat-peminat kami,” katanya.
Azlee bersama anggota Senario lain iaitu Pak Ya, Saiful Apek, Yassin, Lan Pet Pet dan Wahid bakal membuat kemunculan semula dalam konsert mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun.
Konsert anjuran Dreamscape Events dan terbitan Kapla Entertainment itu dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 25 April ini.