Sekilas
- Adira Suhaimi mengesahkan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu, hadir konsert minggu kedua Talk To My Manager 2 untuk sokong anak mereka tanpa berhubung secara langsung dengannya.
- Adira tetap profesional dan menganggap cabaran hidup sebagai proses pembelajaran demi menjaga emosi dan anak-anaknya.
- Isu kemelut antara Adira dan Datuk Red masih belum selesai, dengan dakwaan dan penafian berkaitan syarat penyelesaian kes rujuk mereka.
Pengurus kepada bintang Talk To My Manager 2 (TTM2), Anggrek iaitu Adira Suhaimi memaklumkan dia tahu mengenai kehadiran bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu yang hadir bagi konsert minggu kedua program tersebut pada malam Ahad.
Walau bagaimanapun, Adira memaklumkan dia tidak berhubung dengan suaminya yang mesra disapa Datuk Red itu.
Dalam masa yang sama, Adira menegaskan bahawa dia juga tidak menghalang bekas suaminya untuk hadir memberikan sokongan buat anak sulung mereka di pentas berkenaan.
“Saya tak nampak tetapi tahu mengenai kehadiran dia pada malam ini dan saya bagi saja ruang dan peluang untuk dia sokong anak dia, tiada masalah.
“Saya tak berhubung dengan dia jadi dia berhubung terus dengan manager saya,” katanya kepada Gempak.
Mengakui minggu lalu merupakan minggu yang mencabar buatnya namun, ibu kepada empat orang anak ini tetap profesional dan meneruskan kehidupan demi kelangsungan hidup anak-anak.
“Saya anggap apa yang jadi dalam kehidupan sebagai satu proses untuk saya belajar. Mungkin ia akan mengajar saya untuk jadi lebih sabar dan matang.
“Sebagai seorang ibu, saya kena jaga emosi saya lebih-lebih lagi dihadapan anak-anak,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kemelut berkaitan dirinya dan bekas suami, Adira memaklumkan isu tersebut masih belum selesai.
“Apa yang saya boleh katakan, masih belum selesai lagi,” ujarnya.
Terdahulu, nama bekas pasangan suami isteri ini mula menjadi bualan selepas Adira meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Datuk Red yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk mereka.
Dakwa Adira, usahawan itu meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes selain menggugurkan kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang.
Datuk Red bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah membuat sebarang tawaran itu.