Sekilas
- Adira Suhaimi tidak menghalang bekas suaminya, Datuk Red, hadir memberi sokongan kepada anak mereka, Anggrek, yang bertanding dalam Talk To My Manager 2.
- Adira menolak untuk membuat gimik jemput bekas suami ke pentas demi menjaga emosi Anggrek yang masih kanak-kanak.
- Proses mahkamah pengesahan rujuk dengan bekas suami masih berjalan dan Adira berharap ia selesai dengan tenang tanpa drama.
Bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2), Adira Suhaimi mengakui tidak menghalang sekiranya bekas suami, Datuk Red mahu hadir bagi memberi sokongan terhadap anak mereka, Anggrek yang bertanding dalam pertandingan tersebut.
Jelas Adira, dia sesekali tidak akan membelakangkan bekas suaminya itu dan dan mengganggap sokongan daripada bapa juga sangat penting sepanjang tempoh TTMM2.
"Alhamdulillah bapa dia pun setuju penyertaan Anggrek. Saya tidak akan membelakangkan ayah dia sebenarnya. Dia tahu dan sedar mengenai pertandingan ini serta beri sokongan juga.
"Insya-Allah kalau dia ada masa mungkin akan datang. Saya tiada masalah dan terbuka sebab macam mana pun, Anggrek tetap anak dia.
"Dia tetap kena datanglah untuk sokong Anggrek, tiada sebarang halangan," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Adira juga menolak untuk melakukan sebarang gimik untuk menjemput bekas suami ke atas pentas kerana tidak mahu memberi tekanan kepada anaknya.
"Saya memang tak rancang untuk buat macam itu sebab Anggrek masih kanak-kanak dan mungkin dia tak boleh nak kawal emosi.
"Saya memang akan buat Anggrek dilihat seperti kanak-kanak dan tak mahu beri tekanan pada emosinya kecuali kalau saya rasa dia memang bersedia. Tapi sebenarnya saya tak nak banyak drama dalam TTMM2 dan cuma nak tonjolkan bakat dimiliki Anggrek di atas pentas.
"Namun, terpulang kepada mana-mana peserta lain yang nak buat begitu tetapi untuk Anggrek, saya rasa kurang sesuai," ujarnya.
Sementara itu, berkongsi mengenai prosiding mahkamah pengesahan rujuk dengan bekas suami, dia memberitahu perkara tersebut masih belum berakhir.
"Sebenarnya kes pengesahan rujuk belum selesai tapi macam mana pun saya tetap kena hadap dan selesaikan segera juga benda itu sebab saya pun nak ada kehidupan sendiri.
"Harap benda ini akan selesai dengan tenang, tidak ada drama dan pergaduhan. Saya percaya dia pun akan nak selesaikan dengan tenang.
"Tarikh perbicaraan seterusnya ialah pada 23 April ini, tolong doakan dan saya selesa dalam keadaan sekarang ini," ujarnya lagi.
Dia bagaimanapun bersyukur kes pengesahan rujuk tidak menganggu emosi dan kehidupannya.
"Alhamdulillah saya ada 'support system' yang sangat baik termasuk keluarga dan kawan-kawan.Saya tidak terganggu pun sebenarnya sebab sudah pernah hadap benda yang lebih berat sebelum ni.
"Alhamdulillah saya rasa benda ini hal kecil saja," jelasnya.