Pelakon, Hariz Hamdan akui masih belum sempat untuk menghubungi pelakon dan aktivis kemanusian, Hazwani Helmi selepas terpalit dengan kontroversi penggunaan telefon berjenama.
Jelas Hariz, dia kini sedang sibuk dengan jadual pengambaran dan masih belum sempat untuk bertanya khabar dengan temannya itu.
“Buat masa ini memang belum sempat untuk hubungi dia sebab saya sibuk dengan ‘shooting’ dan komitmen lain. Saya ada dengar juga tentang perkara itu, tapi bagi saya, saya tidak menyalahkan sesiapa.
“Mungkin di mata sesetengah orang ia dianggap salah, tetapi siapa kita untuk menghukum? Hanya Tuhan yang berhak menilai manusia dan setiap perbuatan mereka,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Hariz juga berpendapat tiada sesiapa berhak menghukum kesilapan individu lain.
“Kalau Hazwani melakukan kesilapan, biarlah Tuhan yang membalas.
“Begitu juga dengan kita, bila buat salah biarlah Tuhan yang tentukan. Kita bukan siapa-siapa untuk tentukan apa yang betul atau salah,” tambahnya.
Terdahului, Hazwani menjadi perhatian apabila merakam video pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) yang mengundang reaksi netizen susulan penggunaan telefon pintar iPhone.
Tindakan itu dipersoalkan kerana jenama berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan sumbangan dana kepada Israel.