Skip to main content

Hiburan

Tak Sangka Menang, Ernie Zakri Pulang Selepas Raih Trofi Penyanyi Popular - “Saya Keluar Kereta & Berlari”

Ernie Zakri

Sekilas

  • Ernie Zakri tidak menyangka dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di ABP37 dan hampir pulang sebelum dipanggil semula ke acara.
  • Dia terpaksa berlari dari kawasan beli-belah ke lokasi majlis akibat kesesakan lalu lintas untuk tiba tepat pada waktunya.
  • Ernie merancang menggunakan wang kemenangan RM30,000 untuk aktiviti bersama peminat sebagai tanda penghargaan.

Penyanyi, Ernie Zakri mengakui dia tidak menyangka akan dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) yang diadakan secara langsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Menurut Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, dia yang pada ketika itu sudah menukar pakaian memaklumkan bahawa dia sudah pun pulang selepas meraih anugerah bagi kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Saya memang tak sangka, betul-betul tak sangka. Saya bertanya juga tadi pada pihak produksi, bolehkah saya balik? Tapi jawapan yang saya terima agak separuh-separuh. Mereka nak saya kekal di situ, tapi kalau saya nak balik, mereka memahami.

“Jadi saya pilih jawapan terakhir, iaitu saya pulang kerana saya ada seorang anak dan suami menunggu di rumah. Sebenarnya, saya sudah tukar baju di hotel, sebab itu saya hanya berpakaian ringkas sebegini,” katanya kepada Gempak.

Ernie berkongsi perkara tersebut ketika sidang media bersama pemenang.

Bercerita lanjut, Ernie memaklumkan dia kemudiannya bergegas semula ke tempat acara selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak penganjur.

Ujar Ernie, dia juga terpaksa turun daripada kereta akibat kesesakan lalu lintas dan berlari ke lokasi majlis bagi memastikan dia tiba tepat pada waktunya.

“Bila dapat panggilan, kenapa saya balik? Saya pun terkejut. Tapi bila kena ‘jerit’, saya ambil keputusan untuk datang kembali ke sini. Saya sudah bagi tahu mereka saya sudah tukar baju, tapi mereka kata okay.

“Jadi saya datang, walaupun trafik agak sesak, dan saya memutuskan untuk keluar daripada kereta di kawasan beli-belah dan berlari dari menara Tabung Haji ke sini,” kongsinya.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Masing-Masing ini mengakui sedikit ralat kerana tidak dapat mengambil trofi dengan pakaian yang sesuai.

“Saya sedikit ralat sebab ini kemenangan peminat saya dan mereka berhak melihat saya dengan pemakaian yang elok tapi mohon maaf sebab saya memang tak sangka dengan kemenangan ini.

“Bila saya dengar jumlah undian melebih 120 juta, saya macam speechless. Sebab itu saya kata jangan pernah pandang rendah kepada kuasa peminat anda.

“Tetapi itulah, ini rezeki Allah SWT nak bagi. Saya merasa juga meraih anugerah ini meskipun dalam keadaan saya yang separa siap,” katanya.

Ketika ditanya mengenai wang kemenangan, ibu kepada dua orang anak ini merancang mahu menggunakan wang itu untuk meluangkan masa bersama peminat.

“Wang kemenangan ini saya rancang untuk membuat sesuatu dengan peminat. Saya akan berbincang dengan pengurusan saya.

“Sememangnya saya berniat untuk melakukan sesuatu untuk peminat saya. Ini adalah hadiah mereka dan saya nak berjumpa dan ucapkan terima kasih,” kongsinya.

Pada malam Jumaat itu, Ernie yang turut memenangi kategori Penyanyi Wanita Populaf membawa wang tunai berjumlah RM30,000 beserta sebuah trofi.

Must-Watch Video

Advertisement