Sekilas
- Aliff Awang atau Opai mewajibkan pekerjanya bertadarus al-Quran setiap pagi sepanjang Ramadan dengan memulakan kerja lebih awal pada pukul 8:00 pagi.
- Aktiviti tadarus berjemaah ini dijalankan selama satu jam setiap hari dan disasarkan khatam dua kali sepanjang bulan Ramadan.
- Opai menegaskan sesiapa yang tidak membaca al-Quran sepanjang Ramadan diminta berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain.
Pempengaruh dan usahawan, Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai tampil dengan inisiatif tersendiri apabila mewajibkan pekerjanya bertadarus al-Quran setiap pagi sepanjang Ramadan.
Menerusi perkongsian di TikTok, Opai memaklumkan semua pekerja akan memulakan tugas lebih awal bagi memberi ruang kepada aktiviti tadarus secara berjemaah.
“Inisiatif aku adalah, kita semua masuk kerja pukul 8:00 pagi dan kita cuba tadarus.
“Walaupun mungkin tak berkemampuan nak khatam sendiri, tapi sekurang-kurangnya kita dapat bertadarus dan dapat pahala khatam.
“Kita akan cuba buat sepanjang bulan Ramadan. Kita khatam dua kali,” katanya.
Menurutnya lagi, jika setiap individu membaca lima muka surat sehari, sesi tersebut hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sekiranya bacaan lancar.
“Aku akan beli Quran banyak-banyak. Bagi korang semua semangat.
“Pukul 8:00 pagi mengaji sampai pukul 9:00 pagi. Kita akan balik 3:30 petang.
“Sebab Ramadan ini bulan al-Quran. Jadi kalau setahun kita tak baca, inilah bulannya untuk kita mula membaca Quran.
“Siapa tak baca Quran, kita minta dia berhenti dan kerja tempat lain,” katanya.
Sumber: TikTok