Penyanyi Ernie Zakri memilih untuk tidak memanjangkan isu berhubung kekeliruan seorang penyanyi muda terhadap kemenangan lagu Masing-Masing dalam kategori Lagu Strim Terbanyak Malaysia pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Ernie, 32, berkata dia menghormati keputusan yang dibuat pihak penganjur iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selepas semua pencalonan diteliti mengikut syarat yang ditetapkan.
Advertisement
“Sejujurnya saya ada juga membaca kenyataan itu. Tetapi seperti yang dinyatakan pihak RIM, ada beberapa kriteria untuk penyertaan. Mungkin lagu berkenaan tidak menepati syarat.
“Bukan semua karya saya juga boleh dicalonkan kerana ada syarat tertentu. Malah album saya sendiri ada produk dari Indonesia, jadi tidak semua kategori boleh saya sertai,” katanya.
Ernie ditemui di Stars On Court, kejohanan Pickleball Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena, Subang Jaya, petang semalam.
Mengulas lanjut, Ernie berkata dia enggan memberi komen terhadap rasa kurang faham penyanyi lain sebaliknya menyerahkan kepada pihak penganjur untuk menjelaskan perkara berkenaan.
“Saya rasa lebih baik perkara itu dirujuk terus kepada pihak RIM. Saya hanya menghantar lagu yang layak mengikut terma dan syarat. Apa yang penting, saya hormati keputusan yang diberikan.
“Saya pun rasa tidak perlu untuk memanjangkan isu ini kerana ia bukan datang daripada pihak saya,” ujarnya.
Sebelum ini, Yuji dan abang kepada Putri Dahlia, Iman Syakir, meluahkan rasa kurang senang di media sosial apabila Old Love diketepikan, sedangkan jumlah strimnya jauh lebih tinggi.
Bagaimanapun, hasil semakan mendapati Masing Masing mencatat lebih 200 juta strim di Spotify dan lebih 620 juta strim keseluruhan di semua platform digital.
Keputusan itu sekali gus mengesahkan kemenangan lagu berkenaan dalam kategori Lagu Paling Tinggi Distrim di AIM24. Malah, Masing Masing turut membawa pulang trofi bagi kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik.
Sementara itu, Old Love hanya berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 5 Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, namun kemenangan berpihak kepada Daiyan Trisha menerusi My Home Is In Your Arms.
Susulan itu, RIM juga sudah bahawa menjelaskan pemenang kategori teknikal di AIM ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman rasmi, bukannya pilihan rambang.
Menurut RIM, Old Love tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM, iaitu carta mingguan rasmi yang menyenaraikan lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia, berikutan isu teknikal membabitkan pendaftaran International Standard Recording Code (ISRC), iaitu kod pengenal pasti unik bagi setiap rakaman muzik.