Sekilas
- Usahawan Liana Rosli tidak menjemput kakaknya, Rose Azlin Rosli, ke majlis rumah terbukanya kerana isu serius yang melibatkan pihak berkuasa.
- Liana mengesahkan terdapat kes cabul melibatkan anak-anak dalam keluarga mereka yang kini dalam siasatan polis.
- Bekas suami Kak Nona mendedahkan dua anaknya mengalami trauma serius akibat kejadian tersebut, dan netizen menggesa keadilan ditegakkan.
Usahawan sensasi, Liana Rosli mengakui tidak menjemput kakaknya iaitu Rose Azlin Rosli atau Kak Nona ke majils rumah terbukanya.
Menurut Liana, atau lebih dikenali sebagai Kak KM, keputusan itu dibuat kerana wujud isu tertentu yang menyebabkan dia memilih untuk tidak berpihak kepada kakaknya itu.
“Saya tak jemput, jangan tanya kenapa. Saya tak boleh nak cerita, cukup sekadar korang tahu saya tak jemput dia.
“Hubungan dah baik tapi bila jadi isu ada hal berbangkit, saya tak sokong dia jadi saya tak nak jumpa dia,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Kak KM turut mengakui terdapat perkara serius yang melibatkan pihak berkuasa sehingga dia tidak dapat mengulas lanjut mengenai situasi sebenar.
“Ya, sebab anak dia duduk dengan kita masa itu. Sekarang dah tak duduk sebab dah ada rumah lain. Saya pun tak boleh nak cerita lebih-lebih sebab benda ini dah melibatkan pihak polis.
“Jadi tak tahu nak cakap apa lagi. Anak-anak tu kejap lagi sampai, memang Kak KM jemput sebab mereka memang dengan kita,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kak KM menegaskan bahawa tiada sebarang alasan yang boleh menghalalkan perbuatan tidak bermoral, khususnya melibatkan kanak-kanak atau individu yang lebih muda.
“Apa yang saya boleh cakap, tak kiralah anak buah ke anak sendiri, kau pakai skirt pendek ke, itu bukan alasan untuk buat sesuatu dekat anak tu. Tak boleh. Itu jenayah.
“Bukan tiket untuk sesiapa buat apa-apa. Benda tu memang salah,” tegasnya.
Terdahulu, bekas suami kepada usahawan Kak Nona iaitu Mazylan Edy Abdul Manap tampil membuat pendedahan mendakwa anak-anaknya menjadi mangsa cabul oleh individu yang dipercayai rapat dengan keluarga mereka.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan kes tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa. Malah, beliau turut mendedahkan dua orang anaknya yang berusia 17 dan 21 tahun mengalami trauma serius susulan kejadian itu.
Isu berkenaan kini menjadi perhatian ramai, dengan netizen rata-rata menzahirkan kebimbangan serta menggesa agar keadilan ditegakkan demi keselamatan mangsa.