Ahli Dewan Perundangan Rakyat (DPR) Indonesia, Uya Kuya menegaskan tidak pernah menerima wang gaji dan bayaran elaun sejak direhatkan daripada tugasan terhadap negara sejak 1 September lalu.
Uya yang juga merupakan seorang hos, pelawak dan selebriti memaklumkan dia menegaskan perihal tersebut kerana ingin membetulkan banyak gosip yang dilemparkan kepadanya sejak kontroversi mengenai bayaran elaun rumah buat anggota DPR berlaku.
Advertisement
“Ada cakap-cakap dalam masyarakat, dalam kalangan netizen tentang saya. Buat pengetahuan semua saya Alhamdulillah sejak direhatkan sampai sekarang tidak terima gaji dan elaun.
“Tidak terima apa-apa. Ini demi Allah,” kata Uya Kuya saat menjadi tetamu FYP Trans7 seperti dilaporkan Detik.com.
Sebelum ini dalam pertemuan dengan rakannya Raffi Ahmad, Uya Kuya sudah mengaku sejak tidak menerima gaji sebagai anggota DPR, dia menggunakan duit simpanan untuk menyara kehidupan.
“‘Memang gaji diberhentikan, gaji pokok juga, semuanya berhenti. Terus nak buat macam mana?
“‘Ya sudah, saya pakai tabungan yang ada saja. Tapi tidak apa-apa. Saya ikhlas-ikhlas saja'," kata Raffi Ahmad mengenang semula perbualan dengan Uya Kuya.
Selain Uya Kuya, Eko Patrio juga merupakan salah seorang anggota DPR yang direhatkan susulan kontroversi joget yang disifatkan tidak sensitif dalam kalangan rakyat Indonesia.
Selain dikecam, kediaman kedua-duanya juga dijarah oleh rakyat yang marah dengan perlakuan mereka.
 
     
 
                                       
                                       
                                       
                                      