Sekilas
- Sweet Qismina dinobatkan sebagai Aktres Filem Popular di Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) tahun 2025.
- Pelakon itu mengucapkan terima kasih kepada Allah, ibu, dan suaminya, Adam Lee, atas sokongan sepanjang kariernya.
- Filem Babah membuka peluang rezeki dan membawa kejayaan besar buat Sweet dengan tiga trofi utama dalam tahun yang sama.
Tahun 2025 bagaikan tahun indah buat pelakon, Sweet Qismina apabila terbaharu, dia dinobatkan pula sebagai Aktres Filem Popular di Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37).
Sweet yang menerima trofi tersebut menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT serta ucapan terima kasih buat ibu dan suaminya yang juga pelakon, Adam Lee.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Terima kasih kepada filem Babah banyak buka peluang rezeki.
“Terima kasih kepada mama yang jaga saya daripada kecil.
“Terima kasih kepada suami, dah dua kali saya tak sebut. Terima kasih sebab dah jadi tulang belakang saya,” ujarnya berseloroh.
Sementara itu, Sweet mengakui lakonannya dalam filem Babah telah membuka lembaran baharu buatnya dalam industri lakonan.
“Sejujurnya saya tak sangka tahun ini akan menjadi rezeki buat saya (menang anugerah).
“Macam saya dan suami, kami hanya bekerja seperti biasa saja dan memang tak sangka akan memenangi anugerah ini.
“Boleh dikatakan filem Babah membuka rezeki saya dan membuatkan peminat dapat melihat serta menghargai hasil lakonan saya,” katanya.
Sekadar info, ini merupakan trofi ketiga Sweet pada tahun ini selepas dinobat Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan hebat sebagai Maya dalam filem, Babah di Festival Filem Malaysia ke-34 serta Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Malam Gala Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 pada November lalu.