Sekilas
- Pelakon Yusuf Bahrin menegaskan dia sudah menjadi peminat Manchester United sejak kecil, khususnya sejak era Sir Alex Ferguson pada 1999.
- Yusuf meluahkan rasa kecewa apabila minatnya terhadap MU dipersoal oleh wargamaya yang menganggap dia hanya peminat bermusim.
- Dia juga menjelaskan bahawa kegembiraannya berkongsi kemenangan MU adalah luahan selepas bertahun-tahun menjadi penyokong setia walaupun sering dikritik.
Pelakon Yusuf Bahrin meluahkan rasa geram apabila minatnya terhadap kelab bola sepak Manchester United (MU) dipersoalkan segelintir wargamaya yang mendakwa dia sekadar ‘peminat bermusim’.
Menurut Yusuf, dia sudah menyokong pasukan itu sejak kecil lagi, malah sejak era kegemilangan di bawah kendalian Sir Alex Ferguson sekitar tahun 1999 ketika usianya baru tujuh tahun.
“Aku ni bukan nak belagak. Tapi aku ni jadi fans MU since zaman Sir AF lagi tahun 1999 masa tu umur 7 tahun. Kau tak payah tiba-tiba muncul dari semak mana entah lepas itu nak cakap ‘lah MU juga ke? Tak pernah nampak update fasal MU pun sebelum ni’,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan tuduhan tersebut, Yusuf menegaskan dia mengikuti pasukan itu lebih lama daripada sesetengah pengkritik yang baru ‘muncul’.
“Eh musibat tanah, kau belum wujud atas muka bumi ni aku dah tengok bola piraun,” tegas suami kepada penyanyi Zizi Kirana ini.
Tambahnya lagi, dia mengakui ramai yang mempersoalkan keterujaannya memuat naik hantaran ketika MU meraih kemenangan, namun itu sekadar luahan gembira selepas bertahun-tahun ‘menderita’ sebagai penyokong.
“Ye memang ramai haters akan cakap ‘ah time menang baru kecoh kejap kejap nak post’.
“Malaun. Kau tak faham penderitaan 12 tahun kena pijak, kena bahan. Bagi peluang sikit la nak happy-happy musibal,” katanya lagi.
Sumber - Threads