Malam FYP Timur adalah sebuah konsert yang meraikan kebangkitan budaya muzik Timur Indonesia yang semakin mendapat tempat di kalangan generasi muda.
Konsert julung kali seumpamanya ini akan berlangsung pada 24 April 2026, 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Gaga Entertainment, syarikat pengurusan artis, produksi acara, dan perhubungan awam terkemuka Malaysia, Malam FYP Timur menjanjikan malam bertenaga dengan keunikan muzik rentas budaya, menggabungkan elemen digital dan hiburan secara langsung.
Menurut pihak penganjur, Gaga Entertainment, pihaknya mahu acara ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan budaya.
“Kami mahu membawa muzik Timur Indonesia yang kini menjadi fenomena digital terus ke pentas Malaysia. Malam FYP Timur bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan budaya, tenaga muda dan hubungan serantau melalui muzik,” katanya.
Malam FYP Timur menampilkan tiga nama besar dari Indonesia — Silet Open Up, Faris Adam, dan Ecko Show yang masing-masing terkenal dengan karya tular di media sosial dan carta penstriman digital.
Antara barisan Artis:
● Silet Open Up, peneraju gerakan muzik Timur Indonesia dengan lagu hit Tabola Bale yang mencatat lebih 475 juta penstriman Spotify dan 350 juta tontonan YouTube.
● Faris Adam, penyanyi-penulis lagu dari Maluku yang mencuri perhatian melalui lagu Stecu Stecu, dengan lebih 150 juta penstriman Spotify dan 184 juta tontonan YouTube.
● Ecko Show, ikon hip hop Indonesia dengan lebih 250 juta penstriman Spotify dan 600 juta tontonan YouTube, dikenali dengan lirik tajam dan penceritaan yang dekat dengan jiwa anak muda.
Dengan konsep yang diinspirasikan daripada ‘For You Page (FYP)’ di media sosial, Malam FYP Timur dijangka mencipta pengalaman konsert interaktif, lain daripada lain.
Ia juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan budaya antara Indonesia dan Malaysia, khususnya di kalangan generasi Gen Z dan Milenial.