Penyanyi, Amira Othman menjelaskan bahawa setiap jawapan yang diberikan dalam sesi podcast yang disertainya adalah luahan jujur tanpa skrip.
Menurut Amira, ada segelintir pihak yang menyangka dirinya menyediakan skrip sebelum menjawab soalan dalam podcast.
Advertisement
Namun, jelasnya, semua kata-kata itu datang daripada hatinya sendiri, hasil kefahaman tentang kehidupan yang banyak dibimbing oleh bapanya.
“Selalu jawapan jawapan podcast saya orang cakap saya ada skrip. Hihi masya-Allay tabarakAllah. Semua ayat-ayat saya adalah apa yang saya faham tentang hidup.
“Kerana Abah banyak ajar dan fahamkan saya. Banyak lagi yang harus saya belajar sebab saya pun buat salah dan silap.
“Tetapi saya yakin, jika ibu ayah reda, maka Allah juga reda. insya-Allah,” coretnya menerusi hantaran di Instagram.
Tambah Amira lagi, walaupun masih banyak yang perlu dipelajari dan dirinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, dia percaya bahawa keredaan ibu bapa adalah kunci utama dalam meraih keredaan Allah SWT.
“Sampai mati mereka adalah syurga kita. Takkan boleh beli dekat mana mana dah. Abah banyak ajar saya.
“Apa yang saya buat harini apa yang saya cakap harini, apa yang saya fikir harini, abah lah yang banyak ajar dan didik saya.
“Saya selamanya ingat pesan abah untuk selalu sangka baik, selalu buat baik selalulah jadi orang baik.
“Mama adalah orang yang sentiasa doakan saya, sentiasa saya mohon doa walau sekecil zarah urusan hidup saya sebab saya sy yakin doa ibu tiada hijab,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Amira juga turut menitipkan doa agar semua ibu bapa diberikan balasan syurga tanpa hisab.
“Macam macam keajaiban dengan doa ibu ni. Ya Allah, moga ibu bapa kita dikurniakan syurga tanpa hisab.
“Semoga kita dapat jadi anak anak yang sentiasa membahagiakan kedua dua ibu bapa kita agar bila kita ada anak nanti kita juga akan disayangi dihargai oleh anak-anak kita. Amin ,” tulisnya.
Terdahulu, Amira dan pelakon, Fattah Amin selamat dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan disaksikan bapa pengantin perempuan pada 14 September lalu.
Pihak lelaki menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Amira juga menerima mas kahwin seutas gelang tangan emas.