Skip to main content

Hiburan

“Seronok Dengan Bunyi Burung..." - Que Haidar Selesa Menetap Di Kawasan Kampung

Que Haidar

Sekilas

  • Pelakon Que Haidar kini menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk menikmati ketenangan dan memudahkan urusan kilang sambal miliknya di Melaka.
  • Walaupun sibuk dengan kerja dan penggambaran drama Pak Su Ammara, Que merindui suasana rumah dan bercadang membina rumah baru serta projek kolam ikan di kampung halaman di Johor.
  • Drama Pak Su Ammara yang menampilkan Que dan pelakon lain akan mula ditayangkan pada 5 Januari depan.

Pelakon, Que Haidar mengakui dirinya ketika ini lebih tenang dan selesa selepas memilih untuk menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menurut Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, dia juga memilih untuk menetap di Kuala Pilah bersama ahli keluarganya yang lain bagi memudahkan urusannya meninjau dan memantau kilang sambal yang diusahakannya di Melaka.

"Saya pilih Kuala Pilah sebab ketenangan. Pada awalnya hanya nak tinggal selama empat hingga enam bulan sahaja tetapi lama-kelamaan rasa suka!

"Saya macam seronok dengar bunyi burung setiap pagi dan udara juga bagus.

"Sebenarnya saya juga ada kilang sambal di Melaka. Jadi, nak ke KL satu jam setengah dan ke Melaka juga tempoh yang sama, senang duduk tengah-tengah," katanya kepada Gempak.

Que berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di set penggambaran drama terbaharu lakonannya berjudul Pak Su Ammara bertempat di Kajang, Selangor pada Rabu.

Walau bagaimanapun, pelakon berusia 48 tahun ini sudah mula merindui ketenangan di kampung setelah sekian lama tidak pulang ke rumah kerana kesibukan kerja.

"Sekarang macam rindu rumah, katil saya dan rasa sudah lebih tiga bulan tak cuti, setiap hari saya kerja.

"Kalau cuti, di sini pun saya ada benda lain kena buat seperti latihan aksi, lakonan, penggambaran tetapi bukan saya mengeluh, Alhamdulillah masih banyak rezeki.

"Cuma saya macam fikir bila boleh balik ke rumah sendiri. Kalau dapat satu atau dua malam tidur di bilik saya pun dah okey dan sangat gembira," ujarnya.

Ketika ditanya jika dia ada mempunyai perancangan untuk berpindah ke ibu negara, pelakon yang terkenal menerusi filem Zombi Kampung Pisang ini memaklumkan dia masih belum memikirkan perkara tersebut.

Malah, Que berkata bahawa dia kini mempunyai perancangan untuk membina rumah baharu di kampung halaman di Kulai, Johor.

"Sebenarnya saya nak buat rumah di Johor juga dan sekarang sedang berjalan projek kolam ikan dan nak buat rumah kecil untuk 'healing', mahu bela ayam dan itik juga.

"Jadi, kawasan kolam itu akan jadi tempat sangat tenang dan boleh luang masa untuk melukis, bawa anak-anak balik kampung, lari daripada bandar," ujarnya.

Untuk perkembangan terbaharu, Que bakal tampil menerusi drama Pak Su Ammara yang akan ditayangkan pada 5 Januari depan.

Selain Que, drama ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Ummi Naziera, Syazwan Zulkifli, Dian P. Ramlee dan ramai lagi.

Must-Watch Video

Advertisement