Sekilas
- Filem animasi Papa Zola The Movie: Game On mendapat sambutan hangat dengan ribuan peminat hadir ke tayangan awalnya.
- Filem ini menampilkan watak dewasa sebagai hero utama dan mengangkat tema kekeluargaan yang dekat dengan masyarakat Malaysia.
- Visual dan audio filem ini menunjukkan kualiti tinggi MONSTA, dengan elemen nostalgia dan watak baru yang menarik untuk seisi keluarga.
Tayangan awal filem Papa Zola The Movie: Game On baru sahaja diadakan dan dihadiri oleh ribuan peminat pada Jumaat.
Sokongan ribuan peminat yang membanjiri stadium itu menunjukkan betapa besarnya penangan filem keluaran MONSTA dan Astro Shaw ini.
Lebih menarik, filem animasi yang mendapat sentuhan Niezam Razak ini bukan sahaja menjadi kegilaan golongan kanak-kanak tetapi turut meraih perhatian golongan dewasa.
Apa yang membuatkan naskhah ini senang ‘masuk’ bagi semua lapisan umur ialah apabila karakter dewasa dijadikan sebagai tunjang utama.
Jarang sekali kita lihat filem animasi untuk menjadikan watak seorang dewasa sebagai hero utama tapi Papa Zola berjaya membukti bahawa watak dewasa juga boleh menjadi menghiburkan serta mempunya perjalanan jalan cerita mereka yang tersendiri.
Bukan itu sahaja, tema kekeluargaan yang memaparkan hubungan seorang bapa dan anak serta pengorbanan seorang ketua keluarga membuatkan ianya seakan dekat dengan kehidupan masyarakat ditambah pula dengan beberapa dialog ‘humor’ yang pastinya membuatkan penonton tidak kering gusi.
Dari segi visual, filem ini jelas membuktikan kepakaran MONSTA dalam menghasilkan shot yang cinematic serta pertarungan yang begitu kemas bagi setiap babak aksi yang sememangnya bertaraf Hollywood.
Mereka juga bijak dalam menghasilkan bunyian audio yang pastinya mengingatkan kembali penonton ke zaman permainan video era 80-an dan 90-an.
Kemunculan watak-watak baharu juga menambah warna kepada penceritaan dan pengembaraan yang dihadapi Papa Zola dan keluarga.
Mereka bukan sekadar tempelan, malah berjaya membantu menggerakkan plot sambil mencipta dinamika baru bersama Papa Zola.
Rekaan watak yang segar serta personaliti yang kuat juga seakan memberi potensi kepada karakter itu untuk dikembangkan dalam kisah akan datang.
Bukan itu sahaja, karakter animasi terkenal BoboiBoy yang selama ini menjadi muka depan turut diperkenal namun hanya sebagai cameo dan ‘side character’ bagi filem ini.
Secara keseluruhan, filem ini merupakan hasil idea yang ‘fresh’ sekaligus sangat menarik untuk ditonton seisi keluarga.
Filem Papa Zola The Movie: Game On ini juga boleh dikategorikan sebagai antara naskhah paling hebat pernah dihasilkan MONSTA.
Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket dan menontin filem Papa Zola The Movie: Game On yang akan mula ditayangkan 11 Disember ini di pawagam berdekatan anda.