Skip to main content

Viral

"Semoga Ia Jadi Kenangan Indah..." - Rita Rudaini Redah Hujan, Sukarela Turun Padang Sokong Program CSR Pelajar MRSM Sungai Besar

Astro Gempak rita csr

Sekilas

  • Pelakon Rita Rudaini secara sukarela menyertai program khidmat masyarakat Jalinan Kasih Ramadan bersama pelajar MRSM Sungai Besar di Dataran Merdeka dan Jalan TAR.
  • Program ini melibatkan pengagihan makanan berbuka puasa dan sahur kepada golongan memerlukan, serta bertujuan menanam nilai empati dan keprihatinan dalam kalangan pelajar.
  • Rita menghargai usaha guru dan pelajar dalam program CSR ini dan berharap generasi muda akan terus membesar dengan ilmu dan akhlak yang baik untuk masa depan negara.

Keprihatinan terhadap usaha kebajikan yang digerakkan oleh pelajar mendorong pelakon popular Rita Rudaini untuk turun padang secara sukarela menyertai program khidmat masyarakat Jalinan Kasih Ramadan BWP X SKP MRSM Sungai Besar yang berlangsung di sekitar Dataran Merdeka semalam.

Program tersebut melibatkan pelajar Tingkatan 5 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, termasuk anak sulung Rita, Airit Rayyan, yang bersama rakan-rakan turun ke kawasan sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bagi mengagihkan makanan berbuka puasa dan sahur kepada golongan memerlukan.

Menurut Rita, kehadirannya dalam program tersebut adalah sebagai tanda sokongan terhadap usaha pelajar dan guru yang berusaha menanam nilai keprihatinan dalam kalangan generasi muda.

“Walaupun terpaksa meredah hujan rahmat, saya tetap bersama anak-anak Ulul Albab ini mengagihkan makanan untuk berbuka dan bersahur di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan TAR. Kebetulan saya mempunyai masa terluang, jadi saya turun padang membantu setakat mana yang mampu bersama guru dan anak-anak yang kini berada di tahun akhir pengajian,” katanya.

 

 

 

View this post on Instagram

 

 

 

 

A post shared by RITARUDAINI® (@ritrud727)

 

Rita berkata, pengalaman menyertai aktiviti tersebut bersama para pelajar memberikan kenangan yang sangat bermakna buat dirinya.

“Semoga ia menjadi kenangan indah buat saya kerana masa seakan mencemburui kami apabila terasa begitu cepat berlalu ketika melakukan aktiviti ini bersama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Rita turut merakamkan penghargaan kepada guru yang menganjurkan program berkenaan, Cikgu Dzulkifli Mahat, yang menurutnya memainkan peranan penting dalam membentuk nilai empati dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Dzul yang menganjurkan program CSR ini untuk mendidik anak-anak supaya lebih empati, berani, yakin diri serta mempunyai sifat berkongsi rezeki dengan masyarakat,” katanya.

Menurut Rita, aktiviti khidmat masyarakat seperti ini sangat penting dalam membentuk jati diri anak-anak agar lebih memahami nilai kemanusiaan dan menghargai kehidupan.

“Melalui program CSR, anak-anak belajar nilai empati, menghargai kehidupan dan memahami bahawa setiap kebaikan kecil mampu memberi makna besar kepada orang lain,” katanya.

Rita juga berharap pelajar yang terlibat dalam program tersebut akan terus membesar menjadi generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi.

“Saya doakan semoga anak-anak ini membesar menjadi generasi yang berilmu, berakhlak dan menjadi pelapis negara suatu hari nanti. Hari ini mereka belajar, esok mereka memimpin,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai seorang ibu dan wanita, peranan mendidik generasi muda adalah tanggungjawab besar yang mampu memberi kesan kepada masa depan negara.

“Tugas saya sebagai seorang wanita untuk negara adalah mendidik, membina dan membesarkan generasi yang lebih baik daripada kita. Mungkin tugas ini kecil di mata manusia, tetapi besar untuk masa depan negara. Wanita yang membina anak-anak dengan nilai dan ilmu sebenarnya sedang membina masa depan sebuah negara,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

[WONDERNAIL] Totoro and Friends Set

[WONDERNAIL] Totoro and Friends Set

Royalcat Comfort 2 Slides Unisex in Black/Cool Dark Gray by PUMA, UK 7

Royalcat Comfort 2 Slides Unisex in Black/Cool Dark Gray by PUMA, UK 7

LANEIGE Lip Sleeping Mask

LANEIGE Lip Sleeping Mask

TIMAGE 3-Color Blush Palette

TIMAGE 3-Color Blush Palette

SHEGLAM For The Flush Lip & Cheek Lip Tints

SHEGLAM For The Flush Lip & Cheek Lip Tints

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

Must-Watch Video

Advertisement