Ringkasan AI
- Muhammad Mikhael Sathayah, yang pernah tular selepas memeluk Islam, berkongsi berita gembira ibunya, M. Muniamah, 75, turut memeluk Islam selepas menerima hidayah.
- Selepas tujuh tahun menjadi mualaf, Mikhael tidak pernah berani mengajak ibunya memeluk Islam sehingga ibunya mula kurang sihat baru-baru ini.
- Ketika menunaikan umrah, Mikhael sentiasa berdoa agar ibunya diberikan hidayah dan dibukakan pintu hati untuk menerima Islam.
- Mikhael akhirnya beranikan diri mengajak ibunya mengucap dua kalimah syahadah dan proses itu berjalan lancar dengan bantuan ustaz.
- Kini Mikhael dan ibunya dapat berkongsi nikmat iman yang sama, dan Mikhael meluahkan rasa syukur atas pengorbanan ibunya.
Pemuda berpenampilan ala gengster berjambang yang pernah tular selepas memeluk Islam, Muhammad Mikhael Sathayah, kembali mencuri perhatian apabila berkongsi berita gembira tentang penghijrahan ibunya pula.
Selepas tujuh tahun memeluk Islam, Mikhael berkongsi bahawa ibunya, M. Muniamah, 75, akhirnya mengambil keputusan memeluk agama Islam selepas menerima hidayah daripada Allah SWT.
Menurut Mikhael, momen tersebut disifatkan sebagai sesuatu yang tidak pernah dijangka kerana selama ini dirinya tidak pernah berani mengajak ibunya untuk memeluk Islam.
“Rasa macam mimpi saat ini. Tujuh tahun saya mualaf, tapi tak pernah berani nak ajak mak.
“Pengorbanan mak besar sangat. Ketika saya mencari jiwa, mak benarkan saya masuk Islam. Tiada balasan yang mampu menggantikan pengorbanan itu. Terima kasih, mak,” tulisnya di satu video yang dimuat naik di media sosial.
Tambah Mikhael, ketika menunaikan umrah baru-baru ini, dirinya tidak henti berdoa agar ibunya diberikan hidayah dan dibukakan pintu hati untuk menerima Islam.
“Ketika di umrah selama 12 hari, doa saya cuma satu, Ya Allah, berikanlah hidayah kepada ibuku, bukalah pintu hatinya,” ujarnya.
Namun, katanya, apabila ibunya mula kurang sihat baru-baru ini, perasaan takut kehilangan membuatkan dia akhirnya beranikan diri untuk mengajak wanita itu mengucap dua kalimah syahadah.
“Baru-baru ini mak kurang sihat. Dengan nada bergurau mak kata, ‘kalau mak dah tak ada nanti, Mikhael dan Muni jaga diri’.
“Saya tak nak kehilangan mak, saya nak sentiasa bersama mak. Jadi saya kuatkan diri dan ajak mak, ‘mak ikutlah saya, jom masuk Islam. Mak, kita bertiga je, saya nak sentiasa bersama mak’.
“Saya call ustaz, ingatkan nak tunggu dua tiga bulan lagi, tapi ustaz kata boleh datang esok. Tak sangka semua berjalan lancar, hebat sungguh hidayah Allah,” katanya sebak.
Mengakhiri perkongsian, Mikhael meluahkan rasa syukur kerana kini dia dan ibunya dapat berkongsi nikmat iman yang sama.
“Terima kasih mak, sekarang kita dah bersama. Pengorbanan mak sangat besar. Selamat kembali kepada fitrah,” katanya.
Terdahulu, kisah penghijrahan Muhammad Mikhael pernah tular apabila videonya melafazkan dua kalimah syahadah mendapat perhatian ramai.
Bukan hanya kerana penampilannya yang berimej gagah dan berjambang, tetapi juga kerana kasih sayang serta penghormatan tinggi yang ditunjukkan terhadap ibunya sejak hari pertama dirinya memeluk Islam.