Skip to main content

Viral

"Saya Manusia Biasa, Kadang Tak Dapat Kawal Emosi" - Pengarah Miss Universe Thailand Mohon Maaf Selepas Kontroversi Hina Peserta

nawat_mexico

Pengarah Miss Universe Thailand, Nawat Itsaragrisil, tampil memohon maaf susulan insiden memarahi peserta Miss Universe 2025, termasuk menegur wakil Mexico, Fatima Bosch, kerana tidak memuat naik bahan promosi berkaitan Thailand di media sosial.

Kejadian yang berlaku Selasa lalu itu mencetuskan kemarahan antarabangsa selepas rakaman video menunjukkan Nawat, 60, berkata: "Jika kamu ikut arahan pengarah negara kamu, kamu bodoh."

Presiden Pertubuhan Miss Universe, Raul Rocha, mengecam tindakan Nawat dan memaklumkan pihaknya akan menyekat pembabitan Nawat dalam acara berkaitan pertandingan tahun ini.

Semalam, ketika majlis sambutan rasmi Miss Universe 2025, Nawat tampil memohon maaf secara terbuka, dengan menyatakan beliau berdepan tekanan besar ketika kejadian berlaku.

"Saya manusia biasa. Kadang-kadang saya tidak dapat mengawal emosi. Namun, saya tidak berniat untuk menyakiti sesiapa kerana saya menghormati anda semua.

"Saya benar-benar minta maaf atas apa yang berlaku," katanya sambil tunduk hormat ke arah semua peserta.

Dalam sidang media berasingan, Nawat bagaimanapun menafikan menggunakan perkataan bodoh, sebaliknya mendakwa beliau menyebut perkataan 'damage' (rosak).

"Saya tidak pernah sebut 'bodoh' walau sesaat. Saya kata 'damage', maksudnya jika Bosch percaya dan mengikut arahan pengarah negaranya, itu akan membawa kerosakan," jelasnya.

Must-Watch Video

Advertisement