Skip to main content

Hiburan

Rozita Ibrahim Mohon Maaf Terkasar Bahasa, Jelaskan Punca Hilang Sabar Masa Penggambaran ‘Night Walk’ - “Suami Saya Ada Masalah Jantung…”

ht

Sekilas

  • Rozita Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada MBK Film Studio dan pengacara Roslan Shah atas insiden dan kenyataan yang dibuat semasa penggambaran program Night.
  • Rozita menjelaskan permohonan maaf dibuat kerana ketelanjuran bahasa ketika panik dan emosi, serta menegaskan pihak MBK memberikan kerjasama baik sepanjang program.
  • Beliau juga menjelaskan isu tasbih yang disebut netizen bukan riak, tetapi mempunyai nilai sentimental dan kenangan bersama suaminya.

Usahawan sensasi, Rozita Ibrahim tampil memohon maaf secara terbuka kepada pihak MBK Film Studio dan juga pengacara, Roslan Shah susulan insiden yang berlaku ketika penggambaran program Night baru-baru ini.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok selepas tindakannya dan beberapa kenyataan yang dilontarkan dalam program tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Menurut Rozita, permohonan maaf itu dibuat bukan kerana niat untuk mempertahankan diri, sebaliknya mengakui terdapat ketelanjuran bahasa ketika berada dalam keadaan panik dan emosi.

“Saya nak minta maaf. Saya nak minta maaf bukan sekiranya saya terkasar bahasa di dalam program tersebut kepada Mango (pihak MBK Film Studio), Cik Lan, dan juga kru yang bersama saya pada hari tersebut” katanya.

Rozita turut mendedahkan dirinya mempunyai pengalaman panjang berdepan gangguan sihir sejak bertahun-tahun lalu. 

Susulan itu, membuatkan dia lebih sensitif terhadap situasi yang dilaluinya ketika itu.

Dalam pada itu, Rozita menegaskan pihak MBK Film Studio sebenarnya telah memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang program berkenaan dan cuba membantu mengikut kemampuan mereka.

“Sepanjang program tersebut, pihak Mango sangat memberikan kerjasama dan nak menolong. Tapi sebagai seorang isteri, wallahi saya sangat takut,” katanya.

Tambahnya lagi, situasi menjadi lebih mencemaskan apabila perawat Islam yang sepatutnya berada di lokasi telah pulang lebih awal, sedangkan suaminya, Aidiamin Ahmad, mempunyai masalah kesihatan jantung dan baru keluar dari hospital. 

“Suami saya ada masalah jantung. Bila jadi keadaan macam itu, sebagai isteri siapa yang tak panik? Saya takut nyawa suami saya,” luahnya.

Rozita turut mengakui nada suaranya agak tinggi ketika menegur kaedah rawatan yang dilakukan kerana dia merasakan ia tidak selari dengan pengalamannya berdepan perawat Islam sebelum ini.

“Saya mengaku, nada saya agak tinggi. Saya kata itu bukan rukiah sebab saya hidup 24 tahun dalam keadaan disihir. Saya tahu beza perawat dan bukan perawat,” katanya.

Dalam masa sama, Rozita turut menjelaskan isu tasbih yang disebut-sebut netizen sebagai riak. 

Jelasnya,  maksud ‘mahal’ yang dimaksudkan bukanlah dari segi harga, sebaliknya nilai sentimental dan kenangan bersama suaminya.

“Mahal itu bukan sebab harga, tapi nilai memori, nilai ilmu dan kenangan kami berdua,” jelasnya.

Mengakhiri penjelasan, Rozita sekali lagi memohon maaf kepada pihak MBK Film Studio atas segala salah faham dan ketelanjuran kata yang berlaku ketika dia berada dalam keadaan emosi tidak stabil.

Sebelum ini, suami kepada Rozita Ibrahim, Aidiamin Ahmad, didakwa dirasuk ketika menjalani penggambaran program Night Walk terbitan MBK Filem Studio.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, Aidiamin dilihat berada dalam keadaan tidak terkawal sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.

Must-Watch Video

Advertisement