Sekilas
- Rina Nose berkongsi pengalamannya mengalami post-op blues selepas menjalani pembedahan plastik untuk memancungkan hidung bersama pakar estetik Tompi.
- Dia mengaku mengalami kegelisahan dan kemurungan selama dua bulan kerana risau tentang bagaimana penampilannya dilihat di kamera dan televisyen.
- Rina menegaskan keputusan pembedahan itu dibuat dengan pertimbangan etika, estetika, dan nisbah geometri wajah agar hasilnya harmoni dan sesuai.
Hos terkenal Indonesia, Rina Nose mendedahkan dirinya sempat mengalami fasa post-op blues atau kegelisahan selepas pembedahan plastik baru-baru ini.
Perasan gelisah itu muncul selepas dia menjalani pembedahan plastik dengan memancungkan hidung yang dilakukan bersama rakan industri yang juga merupakan pakar estatik, Tompi.
Pengacara Big Stage 2023 itu mengaku mengalami masalah kegelisahan dan cemas dengan pandangan khalayak terhadap perubahan yang telah berlaku pada wajahnya.
“Saya rasa menyesal dan menangis. Saya kemurungan selama dua bulan kerana berfikir bagaimana rupa saya dilihat orang. Selepas saya cari tahu apa ‘masalah’ yang melanda saya, rupanya ia dinamakan post-op blues,” ujar Rina seperti dilaporkan InsertLive.
Pelawak itu juga mengatakan bimbang memikirkan penampilan terkini sewaktu muncul di televisyen atau kamera.
“Bila saya lihat kamera, beza ya wajah saya. Tengok cermin pun beza wajahnya, begitu juga di kamera telefon bimbit.
“Jadi ia buat saya cemas nanti bagaimana wajah saya akan kelihatan kalau tampil di kamera wartawan atau kaca televisyen,” katanya lagi.
Terdahulu, Rina berkongsi keputusan melakukan pembedahan plastik pada bahagian hidung agar kelihatan lebih mancung telah dipertimbangkan dengan cukup lama.
Kata wanita berusia 42 tahun ini, selain menilai dari segi etika dan estetika, dia juga mengambil berat tentang nisbah geometri bentuk wajah agar perubahan yang dilakukan sesuai.
“Saya buat pembedahan plastik bukan kerana trend mahu cantik atau sekadar ikut-ikutan. Pembedahan plastik merupakan keputusan yang melibatkan aspek etika dan estetika yang agak rumit kerana ia merangkumi banyak pertimbangan, termasuk pemahaman serta pengiraan nisbah geometri bentuk wajah untuk mendapatkan bentuk yang sesuai dan harmoni,” jelasnya.