Skip to main content

Viral

Rezeki Hamil Anak Kembar Sally Whoo, Lancar Kolaborasi Beg Tangan Dengan Aliff Syukri! - "Saya Bukanlah Sesiapa..."

sallywhoo

Pempengaruh dan jurusolek terkenal, Sally Whoo, meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang berkolaborasi dengan usahawan ternama, Datuk Seri Aliff Syukri, dalam penghasilan koleksi beg tangan eksklusif AS x Sally.

Menurut Sally, peluang berharga itu disifatkannya sebagai rezeki untuk anak-anak kembarnya, yang menjadi sumber kekuatan dalam setiap langkah kehidupannya.

“Saya benar-benar terkejut apabila menerima tawaran daripada Datuk Seri Aliff. Saya bukan sesiapa, dan ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam kolaborasi untuk produk beg tangan.

"Sebelum ini, kebanyakan kolaborasi saya lebih tertumpu kepada produk solekan.

"Saya anggap ini sebagai rezeki anak-anak kembar. Tawaran ini datang secara mengejut dan di luar jangkaan.

"Tak pernah terlintas di fikiran saya akan berpeluang bekerjasama dengan Datuk Seri Aliff. Sejak kecil, saya hanya melihat Datuk Seri Aliff di kaca televisyen sahaja," katanya kepada Gempak.

Advertisement

Sementara itu, Datuk Seri Aliff Syukri menjelaskan bahawa idea kolaborasi ini tercetus selepas diperkenalkan kepada Sally oleh isterinya, Datin Shahida, yang merupakan peminat setia pempengaruh berkenaan.

“Saya memilih untuk bekerjasama dengannya kerana isteri saya memang meminati Sally. Jujurnya, dua tahun lalu saya tidak mengenalinya, tetapi isteri saya pernah berkata yang auranya sangat kuat.

"Dalam ramai-ramai pempengaruh, Sally paling menyerlah," ujarnya.

Tambah Aliff, beliau melihat Sally sebagai pelapis generasi baharu pempengaruh yang mempunyai karisma tersendiri.

“Dia mempunyai jumlah pengikut yang sangat ramai walaupun bukan dari kalangan pelakon atau penyanyi. Fokus saya adalah kepada golongan muda.

"Saya amat berbesar hati dan senang bekerjasama dengannya. Saya gemarkan individu yang mempunyai keunikan tersendiri. Sebelum ini saya juga pernah berkolaborasi dengan beberapa selebriti," katanya.

Gabungan cita rasa elegan Datuk Seri Aliff Syukri bersama sentuhan trendy dan berani daripada Sally Whoo menjadikan setiap rekaan beg tampil moden, eksklusif dan penuh personaliti. Koleksi ini bukan sekadar aksesori gaya, tetapi simbol keyakinan dan keanggunan wanita masa kini.

Setiap rekaan dihasilkan dengan teliti menggunakan material berkualiti tinggi bagi memastikan ketahanan dan keselesaan pengguna, seiring dengan slogan AS yang terkenal iaitu “Designed From The Heart” dan “Sentiasa Bersamamu.”

Koleksi AS x Sally bakal menampilkan enam beg tangan eksklusif — Samma Medium, Rica, Roca, Mamma, Stela dan Stely — yang akan mula dijual sepanjang Oktober hingga Disember tahun ini dengan harga mampu milik sekitar RM75 hingga RM85.

Koleksi ini boleh didapati melalui agen dan stokis sah di seluruh Malaysia, selain turut dilancarkan secara rasmi menerusi TikTok Shop dan Shopee Live rasmi AS tidak lama lagi.

Must-Watch Video

Advertisement