Salah seorang peserta program realiti The Voice versi Nigeria yang kini menjadi penyanyi dan kebanggaan negara tersebut maut selepas dipatuk ular sewaktu tidur.
Ifunanya Nwangene, meninggal dunia pada usia 26 tahun selepas gagal diselamatkan pihak hospital kerana racun kesan patukan ular telah merebak ke seluruh tubuhnya, lapor BBC.
Nwangene yang menyertai The Voive Nigeria cukup terkenal dengan versataliti antara jazz, opera dan muzik klasikal dipercayai dipatuk ular tedung.
Menurut kenyataan yang diberikan rakannya, Hillary Obinna, Nwangene sedang lena tidur di kediamannya di sebuah apartment di Abuja sebelum terjaga kerana dipatuk ular. Mereka kemudian menemui bukan seekor tetapi dua ekor ular dalam rumah tersebut.
Penyanyi itu dibawa ke klinik sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Malangnya pihak hospital juga gagal menyelamatkan nyawa Nwangene kerana banyak organ dalamannya sudah rosak kesan racun ular.
“Mangsa menderita dengan komplikasi pada organ badan yang teruk kesan daripada gigitan ular. Dia gagal diselamatkan,” kata kenyataan pihak hospital.
Sementara itu, rakan baiknya yang juga merupakan seorang pengarah muzik, Sam Ezugwu menyifatkan mendiang sebagai bakat muda yang bakal bersinar. Dia malah dalam perancangan melaksanakan konsert solo Nwangene pada tahun ini.
Kematian Nwangene turut mendapat perhatian peminat yang berduka cita dengan insiden berlaku.