Sekilas
- Anurag Dobhal, bekas peserta Big Boss musim ke-17 dan pempengaruh permotoran, kini dirawat di ICU selepas sengaja menyebabkan kemalangan ketika memandu laju dalam siaran langsung Instagram.
- Dalam siaran langsung tersebut, Dobhal berkongsi perasaan sunyi dan kosong serta menyatakan hasrat untuk mengakhiri hidupnya sebelum kemalangan berlaku.
- Insiden itu mengejutkan lebih 80,000 pengikutnya dan dilaporkan berkaitan dengan masalah gangguan kesihatan mental yang dialami Dobhal.
Salah seorang bekas peserta program realiti terkenal India, Big Boss musim ke-17 yang juga merupakan pempengaruh dan vlogger, Anurag Dobhal kini bertarung nyawa di unit intensif rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Meerut selepas sengaja menyebabkan kemalangan sewaktu memandu berseorangan.
Dobhal atau UK07 Rider memang terkenal dengan konten permotoran di platform Instagram dan YouTube. Sewaktu insiden, lelaki itu memandu sekitar 140 - 150 kilometer sejam dalam siaran langsung yang dikongsikan kepada pengikutnya di Instagram.
Pada masa sama, dia memberitahu pengikut bahawa hidupnya sangat kosong dan sunyi sehingga tiada sesiapa untuk dihubungi, lapor Hindustan Times.
Dia juga berkata: “Mari menuju ke destinasi terakhir dan selamat tinggal.” Dobhal kemudian dilihat menekan pedal minyak dengan laju dan sengaja melibatkan dirinya dalam kemalangan. Kereta jenis Toyota Fortuner SUV itu antaranya terbalik selepas melanggar penghadang jalan.

Aksi tersebut membuatkan lebih 80,000 pengikut yang sedang menonton siaran langsung Dobhal sangat terkejut.
Video selepas kemalangan yang menyaksikan orang ramai menyelamatkan lelaki itu turut tersebar. Dia didapati terbaring di jalan dengan keadaan kereta yang teruk.
Menerusi laporan sama, Dobhal didakwa sedang mengalami masalah gangguan kesihatan mental sewaktu insiden berlaku.