Sekilas
- Filem romantik komedi 'Kata Hati' mengisahkan kisah cinta antara seorang pelakon wanita popular dan pemandu e-hailing, dengan elemen humor dan realiti kehidupan selebriti.
- Filem ini menampilkan barisan pelakon muda seperti Nia Atasha, Yusof Hashim, dan Fazziq Muqris serta penampilan istimewa beberapa pelakon terkenal lain.
- 'Kata Hati' diarahkan oleh Nadiah Hamzah dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 4 Jun ini.
Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan sebuah filem romantik komedi terbaharu berjudul Kata Hati yang menggabungkan elemen percintaan, humor dan realiti kehidupan moden dalam satu naskhah yang segar serta menghiburkan.
Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd. itu bukan sekadar memaparkan kisah cinta, sebaliknya turut menyelami sisi kehidupan sebenar seorang selebriti popular di sebalik dunia glamor yang sering menjadi perhatian ramai.
Menurut penerbitnya, Muhammad Bahir, idea menghasilkan Kata Hati tercetus hasil pengalamannya bertemu ramai selebriti sepanjang berada dalam industri hiburan.
“Idea menghasilkan Kata Hati muncul apabila sepanjang bekerja dalam industri ini, kami berpeluang bertemu ramai selebriti dan tertarik melihat perbezaan antara persona yang mereka tunjuk di depan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik lensa.
“Jadi kami mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah kisah di sebalik dunia glamor seorang selebriti itu dan disulami dengan jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” katanya.
Diarahkan Nadiah Hamzah, filem tersebut mengangkat kisah percintaan yang terjalin antara seorang pelakon wanita popular dengan seorang pemandu e-hailing.
Menariknya, Kata Hati mempertaruhkan barisan pelakon muda yang semakin meningkat naik iaitu Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama.
Turut membintangi filem tersebut ialah Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman selain penampilan istimewa beberapa pelakon terkenal seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.
Sementara itu, penerbit eksekutif Juliana Foo berkata, filem berkenaan hadir tepat pada masanya ketika penonton disajikan dengan terlalu banyak naskhah aksi dan seram sejak kebelakangan ini.
“Genre romantik komedi seperti ini sudah lama tidak diketengahkan sedangkan masih ramai penonton yang merindui cerita cinta yang ringan dan menghiburkan.
“Ternyata Kata Hati hadir sebagai sebuah filem ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ serta memberikan momen yang indah dan tersendiri buat mereka yang menontonnya nanti di pawagam,” katanya.
Bagi Nadiah pula, filem tersebut menawarkan pelbagai emosi yang disatukan dalam sebuah penceritaan unik dan dekat dengan penonton.
“Selepas menghasilkan filem yang agak berat seperti Motif, saya memang berniat untuk mengarahkan sebuah filem cinta ringan yang boleh membuatkan penonton bergelak ketawa sambil menangis di pawagam.
“Berkenaan pemilihan pelakon pula, Nia, Yusof dan Fazziq dipilih menerusi sesi uji bakat. Apa yang paling mengejutkan saya ialah kesungguhan mereka memberikan lakonan mantap dan komitmen ketiga-tiganya memang wajar dipuji,” katanya.
Tambah Nadiah, dia berharap penonton dapat merasai keindahan dan kejujuran kisah cinta yang dipaparkan menerusi filem tersebut.
“Sudah tentu saya mahu penonton datang beramai-ramai untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang bukan biasa-biasa.
“Apa yang boleh saya katakan, ia bakal menyentuh emosi melalui tangisan dan gelak ketawa serta mengingatkan kita semua tentang kemanisan bercinta,” ujarnya.
Penggambaran Kata Hati telah dijalankan sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan pada Ogos tahun lalu.
Filem tersebut akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun ini.
SINOPSIS
Kata Hati mengisahkan Ayra Natasha (Nia Atasha), seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik dan menjadi perhatian ramai, lebih-lebih lagi selepas membintangi sebuah filem aksi berskala besar bersama teman lelakinya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail (Fazziq Muqris).
Namun, kehidupan Ayra yang tampak sempurna mula berubah selepas satu insiden memalukan yang tular pada malam pencalonan sebuah anugerah berprestij.
Di tengah kekecohan tersebut, Ayra bertemu Imran Firdaus (Yusof Hashim), seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak terpengaruh dengan dunia glamor selebriti.
Keadaan menjadi lebih menarik apabila Imran terpaksa bersetuju dengan rancangan Maya (Scha Alyahya), kakak serta pengurus Ayra, untuk menjadi pemandu peribadi kepada pelakon tersebut.
Pertemuan yang pada awalnya biasa itu akhirnya membuka ruang kepada sebuah kisah cinta yang tidak dijangka, sekali gus menguji hati dan perasaan kedua-duanya.