Skip to main content

Berita Tempatan

Pernah Membesar Di Switzerland, Deanna Yusuf Ada Sebab Sentimental Rai Hari Natal - "Kerana Saya Pilih Untuk..."

Deanna Xmas

Sekilas

  • Deanna Yusoff berkongsi makna istimewa Krismas yang bukan sekadar agama atau tradisi, tetapi kenangan dan perasaan sejak kecil di Switzerland.
  • Beliau menggambarkan Krismas sebagai musim kebersamaan, kegembiraan, dan kehangatan yang dibawa melalui momen sederhana seperti membakar biskut dan bertukar hadiah.
  • Deanna menegaskan bahawa semangat Krismas tetap hidup dalam dirinya walaupun jauh dari Switzerland dan mengajak semua meraikan hari istimewa itu dengan kasih sayang mengikut cara masing-masing.

Pelakon Deanna Yusoff berkongsi kisah peribadi sempena sambutan Hari Natal menerusi satu hantaran di Instagram baru-baru ini.

Menerusi perkongsian itu, Deanna menzahirkan bahawa Krismas mempunyai makna istimewa dalam hidupnya, bukan kerana faktor agama atau tradisi semata-mata, sebaliknya kerana kenangan yang dibawa sejak kecil.

“Krismas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam diri saya. Bukan kerana agama atau tradisi, tetapi kerana perasaan yang ia hadirkan,” tulisnya.

Deanna turut berkongsi latar belakang kehidupannya yang membesar di Switzerland, dikelilingi dengan nilai kekeluargaan dan kebersamaan.

“Walaupun kini saya menetap di Asia, saya membesar di Switzerland yang diselimuti salji di mana Krismas bermaksud keluarga, kebersamaan, kegembiraan dan muzik yang menyentuh jiwa,” kongsinya.

Menurut Deanna, sambutan Krismas pada zaman kecilnya dipenuhi momen sederhana tetapi bermakna, seperti membakar biskut, menghias pokok, berjalan dalam udara sejuk serta bertukar hadiah yang dibuat dengan penuh kasih sayang.

“Ia bukan sekadar satu perayaan, tetapi satu musim tentang kehadiran, rasa dimiliki dan kehangatan,” jelasnya lagi.

Mengulas persoalan segelintir pihak yang tertanya-tanya mengapa dia masih menyambut Krismas, ini jawapan tenang Deanna.

“Kerana saya memilih untuk menghormati apa yang menerangi jiwa saya. Kerana saya membawa kenangan, perasaan dan energi itu dalam diri saya,” katanya.

Tambah Deanna, walaupun ada insan tersayang yang sudah tiada dan ada tahun-tahun di mana dia tidak berada di Switzerland, semangat Krismas tetap hidup dalam dirinya.

“Krismas hidup dalam diri saya. Dan tiada siapa yang boleh merampasnya,” tambahnya.

Mengakhiri perkongsian tersebut, Deanna menitipkan ucapan buat semua, agar hari istimewa itu diraikan dengan penuh kasih sayang, mengikut cara masing-masing.
 

Must-Watch Video

Advertisement