Skip to main content

Hiburan

Pengarah Dedah Cabaran Di Sebalik Pembikinan Karakter Papa Zola - “Bayangkan Macam Mana Nak Jadikan Dia Tampan & Bergaya”

Papa Zola The Movie

Sekilas

  • Filem animasi Papa Zola The Movie berjaya raih kutipan RM10 juta dalam masa empat hari tayangan dan mendapat reaksi positif penonton.
  • Pengarah Nizam Abd Razak dedahkan cabaran utama adalah mereka bentuk karakter Papa Zola muda yang tampan dan bergaya tanpa hilang identiti asalnya.
  • Filem ini kini ditayangkan di Malaysia, Singapura, Brunei dan bakal masuk pasaran antarabangsa seperti Indonesia, India, Vietnam serta Timur Tengah pada 2026.

Baru sahaja seminggu ditayangkan, filem Papa Zola The Movie berjaya menarik perhatian ramai penonton malah menerima pelbagai reaksi positif.

Namun begitu, ramai yang tidak mengetahui cabaran yang dihadapi pihak produksi untuk menghasilkan filem animasi bertaraf antarabangsa ini. Hakikatnya, antara aspek mencabar bukanlah jalan cerita semata-mata sebaliknya, melibatkan pembentukan karakter itu sendiri.

Menerusi Instagram (IG), pengarah dan penulis Papa Zola The Movie iaitu Nizam Abd Razak yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, mendedahkan bahawa cabaran paling besar adalah untuk mereka menjadikan karakter Papa Zola versi muda kelihatan tampan dan bergaya, tanpa menghilangkan identiti asalnya.

“Ada satu cabaran yang mungkin anda tak terfikir iaitu untuk menjadikan Papa Zola muda, tampan dan bergaya. Bayangkan macam mana nak ambil design Papa Zola sekarang dan nak rewind semula sewaktu dia muda dan jadikan dia tampan dan bergaya!

“Dengan rambut tempurungnya, perut yang kedepan, misai panjang, hidung besar dan kening berombak, pening kepala dibuatnya.

“Gambar Papa Zola sewaktu kecil juga tidak membantu. Tak nampak ciri-ciri beliau boleh menjadi tampan ketika dewasa,” kongsinya.

Tambah Nizam, pihak produksi juga mengambil masa yang lama bagi mendapatkan rekaan yang benar-benar sesuai dan sinonim dengan Papa Zola.

“Kami mengambil mengambil masa yang lama untuk mendapatkan design yang sesuai. Bukan setakat rupanya tetapi jaketnya ketika muda dititikberatkan. Pemilihan jenis motosikal juga penting untuk Operatif Zola,” ujarnya.

Di akhir perkongsian, Nizam berharap agar perkongsiannya itu dapat membantu penonton untuk mengenali karakter Papa Zola dengan lebih mendalam,

Sekadar info, Papa Zola The Movie mendapat respon positif daripada penonton apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM10 juta dalam masa empat hari tayangan.

Selain Malaysia, Papa Zola The Movie ketika ini turut ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Lebih menerujakan, filem animasi tempatan ini bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.

Must-Watch Video

Advertisement