Sekilas
- Konsert RadjaWali Live in Malaysia di Idea Live Arena, Damansara berjaya menarik kira-kira 5,000 peminat dengan persembahan mantap dari Radja dan Wali Band.
- Walaupun usia anggota kumpulan sudah mencecah 50-an, mereka tetap bertenaga dan menghiburkan dengan lagu-lagu hit popular dari era 2000-an.
- Konsert terpaksa dihentikan tepat tengah malam kerana faktor masa, namun Wali Band akan kembali ke Kuala Lumpur pada Mei sebagai tanda penghargaan kepada peminat.
Dua nama besar dari Indonesia, Radja dan Wali Band membuktikan muzik era awal 2000-an masih relevan apabila berjaya menghiburkan kira-kira 5,000 peminat dalam Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia di Idea Live Arena, Damansara, baru-baru ini.
Walaupun rata-rata anggota kumpulan termasuk vokalis masing-masing sudah mencecah usia 50-an, kehebatan vokal dan tenaga persembahan mereka kekal menghiburkan, sekali gus menafikan tanggapan usia menjadi penghalang untuk terus relevan di pentas muzik.
Konsert dimulakan dengan kemunculan Radja yang pantas ‘memanaskan’ suasana menerusi lagu Tulus sebelum meneruskan rangkaian hit yang masih segar di ingatan peminat seperti Benci Bilang Cinta, Angin, Bulan dan Jujur.
Dianggotai Ian Kasela, Moldyansyah Mulyadi dan Seno Aji Wibowo, Radja berjaya mewujudkan suasana lebih dekat dengan peminat apabila Ian turun dari pentas untuk menyapa penonton, termasuk peminat yang hadir dari Singapura dan Brunei.
Sorakan penonton semakin menggamatkan arena apabila Wali Band pula mengambil alih pentas, meskipun tampil tanpa gitaris utama mereka, Apoy.
Kumpulan asal Tangerang Selatan itu memulakan persembahan dengan alunan pantun selawat sebelum menyampaikan lagu Cari Berkah (Cabe) sebagai pembuka tirai.
Vokalisnya, Faank turut mengambil kesempatan menitipkan doa agar segala musibah dijauhkan sebelum mendendangkan lagu Alif Ba Ta Sa dan Nenekku Pahlawanku dengan penuh emosi.
Rentak konsert kembali rancak apabila lagu-lagu popular seperti Yang Penting Halal dan Emang Dasar dipersembahkan secara energetik, disusuli Ada Gajah Di Balik Batu.
Namun, keterujaan peminat terhenti secara mengejut apabila konsert terpaksa dihentikan tepat pada pukul 12 tengah malam atas faktor masa dan mengecewakan sebahagian penonton yang masih ingin berhibur.
Susulan insiden penamatan konsert secara tiba-tiba itu, penganjur Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) memaklumkan Wali Band bakal dibawa semula ke Kuala Lumpur pada Mei depan sebagai tanda penghargaan kepada peminat.
Sebelum ini, pihak penganjur juga memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan lokasi susulan penutupan sistem bunyi secara mengejut ketika konsert di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 10 Januari lalu.
Untuk rekod, Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd. bersama GIS Entertainment & Events dan ILCV Events.