Sekilas
- Noh Salleh berjaya menjalani pembedahan tulang belakang di HUKMSC bagi merawat masalah nerve impingement yang menyebabkan tangan kebas dan sakit belakang kronik.
- Pembedahan yang dilakukan berhampiran pita suara itu berjalan lancar di bawah kendalian Prof. Datuk Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin, walaupun berisiko tinggi kepada vokalis itu.
- Noh memohon doa agar proses pemulihan dipermudahkan dan berterima kasih kepada keluarga, rakan, kumpulan Hujan serta pihak hospital atas sokongan mereka.
Penyanyi Noh Salleh meluahkan rasa syukur selepas selamat menjalani pembedahan tulang belakang yang dilakukan semalam di Pusat Perubatan Pakar UKM (HUKMSC).
Menerusi perkongsian di Instagram, vokalis kumpulan Hujan itu turut memuat naik beberapa foto ketika proses pembedahan selain berkongsi keadaan kesihatannya kepada peminat.
“Alhamdulillah, selesai pembedahan semalam (19 haribulan) di HUKMSC.
“Masalah tulang belakang bahagian tengkuk C6 dan C7 yang menyebabkan nerve impingement, tangan kebas dan sakit belakang kronik sampai ganggu nak angkat baby Tara,” tulisnya.
Menurut Noh, pembedahan tersebut berjalan lancar dan dikendalikan oleh pakar bedah berpengalaman, Prof. Datuk Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin.
Bagaimanapun, pelantun lagu Angkasa itu mengakui berdepan risiko besar memandangkan lokasi pembedahan terletak berhampiran pita suara yang menjadi sumber rezekinya sebagai penyanyi.
“Yang buat tak best adalah lokasi pembedahan betul-betul di belakang vocal cords saya, risiko besar pada organ yang jadi punca rezeki saya.
“Tapi Allah jaga. Alhamdulillah,” katanya.
Dalam masa sama, Noh turut memohon doa daripada semua agar proses pemulihannya dipermudahkan dan dapat kembali pulih seperti sediakala.
“Mohon kawan-kawan doakan semua agar proses sembuh dipermudahkan dan kembali normal secepat mungkin.
“Risau? Ya. Sebab ada show Sabtu ini,” tulisnya.
Noh turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan serta anggota kumpulan Hujan yang hadir memberikan sokongan moral, selain pihak hospital yang menjaga kebajikannya sepanjang menerima rawatan.
“Terima kasih tak terhingga kepada semua yang mendoakan, keluarga dan rakan-rakan.
“Terima kasih Abah hantar dan ambil saya, terima kasih mummy dan Yaya tengokkan Tara dan Athira di rumah, budak-budak Hujanband dan Suffren terima kasih sangat datang buat kejutan.
“Terima kasih UKM Specialist Centre jaga saya,” kongsinya.
Sumber: Instagram