Skip to main content

Berita

Pelajar Lelaki Direman Empat Hari Disyaki Lakukan Gangguan Seksual

Pelajar Lelaki Direman Empat Hari Disyaki Lakukan Gangguan Seksual

Polis menahan seorang pelajar lelaki di tepi jalan di Jalan Parit 1 Barat, Sungai Besar, di sini, selepas disyaki terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap rakan sekolahnya di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, suspek berusia 14 tahun itu ditahan pada hari sama selepas melakukan gangguan seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun pada Isnin lalu.

Advertisement

“Susulan laporan diterima, polis berjaya menahan suspek pada hari sama,” katanya.

MD Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika waktu rehat di dalam kawasan sekolah.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis selepas insiden berkenaan.

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek dibuat pada Selasa dan mahkamah membenarkan tahanan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa polis menahan seorang lelaki selepas menerima laporan berhubung kejadian gangguan seksual melibatkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement