Sekilas
- Amyza Aznan berkongsi keadaan anaknya, Andre Mikhail, yang sedang melawan kanser paru-paru dengan paru-paru kanan yang collapse akibat saiz tumor semakin membesar.
- Prosedur untuk menyedut cecair di paru-paru terpaksa dibatalkan kerana tiada cecair, dan saiz tumor masih belum cukup kecil untuk pembedahan.
- Amyza memohon doa daripada orang ramai agar rawatan Andre dipermudahkan dan berharap ada keajaiban untuk kesembuhannya.
Pelakon, Amyza Aznan berkongsi keadaan anaknya, Andre Mikhail yang ketika ini sedang berjuang melawan kanser paru-paru.
Menerusi Instastory, Amyza memaklumkan paru-paru bahagian kanan Andre ‘collapse’ susulan saiz tumor semakin membesar.

Kongsinya lagi, prosedur untuk menyedut cecair di paru-paru yang dijadualkan semalam juga terpaksa dibatalkan.
“Tak tahu nak cakap apa, tak jadi sedut air sebab tak ada air dalam paru-paru. Kata pakar bukan air tapi saiz tumor membesar dan menyebabkan paru-paru kanan collapse.
“Nak tahu berapa saiz tumor kena tunggu giliran MRI lagi sebulan. Semoga ada keajaiban buatmu anak,” kongsinya.
Berkongsi lanjut, Amyza memaklumkan bahawa prosedur yang dilakukan sebelum ini hanyalah untuk mengeluarkan cecair di paru-paru kanan dan bukannya prosedur membuang tumor.
“Proses membuang air di paru-paru kanan, bukan tumor. Tumor masih belum kecut untuk proses pembedahan.
“Saiz dari 18 sentimeter, kali terakhir proses CT scan hanya mengecut ke 14 sentimeter sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amyza memohon doa daripada orang ramai agar anaknya sembuh dan segala urusannya menjalani rawatan dipermudah.
“Dengan rendah hati saya memohon doa buat anakanda Andre Mikhail yang akan menjalani prosedur untuk rawatan tumor pada waktu ini.
“Hanya Allah yang membalas doa-doa kalian,” luahnya.

Pada 15 Februari tahun lalu, Amyza berkongsi berita sedih mengenai Andre yang disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Sumber: Instastory Amyza Aznan