Sekilas
- Ammar Ahyan, anak sulung Datuk Seri Aliff Syukri, menerima tawaran menjadi wajah kempen Teh Yeo’s sempena Hari Teh Sedunia atas nasihat bapanya dan untuk menimba pengalaman baru.
- Melalui kempen ini, Ammar belajar cara bergaya di hadapan kamera, membina keyakinan diri, dan mengawal ekspresi wajah agar tidak kelihatan kaku.
- Ammar tidak menyesal menerima tawaran tersebut kerana ia memberi peluang memperoleh pendapatan sendiri serta pengalaman berharga dalam dunia perniagaan dan pengiklanan.
Anak sulung kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan mempunyai sebab tersendiri menerima tawaran sebagai wajah kempen rangkaian Teh Yeo’s sempena Hari Teh Sedunia.
Menurut Ammar, keputusan itu dibuat selepas disarankan sendiri oleh bapanya selain mahu menimba pengalaman baharu dalam dunia perniagaan dan pengiklanan.
Malah kata Ammar, peluang tersebut turut membuka ruang untuk dia belajar pelbagai perkara termasuk cara bergaya di hadapan kamera dan membina keyakinan diri.
“Sebenarnya ayah saya yang cadangkan supaya saya terima tawaran ini untuk saya belajar lebih lagi dalam bidang seperti ini.
“Jadi saya sudah belajar bagaimana caranya untuk posing, senyum dan juga cara untuk menunjukkan lebih emosi atau ekspresi pada wajah supaya tidak nampak terlalu kaku atau kayu.
“Pada saya inilah peluang untuk saya belajar jadi saya terima tawaran ini. Saya juga ikut nasihat ayah dan sekarang saya ada kerelaan untuk belajar dan ambil pengalaman,” katanya.
Ammar berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Magik Teh & Kamu yang berlangsung baru-baru ini.
Namun, Ammar mengakui proses pembelajaran tersebut bukan satu perkara yang mudah buat dirinya kerana berdepan dengan pelbagai emosi.
“Biasalah bila dalam proses pembelajaran ini, ada masanya kira rasa seronok, merungut, penat, pelbagai emosi.
“Tapi setakat ini secara keseluruhannya saya okay sahaja,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Ammar, dia sama sekali tidak menyesal menerima tawaran tersebut kerana bukan sahaja memperoleh pendapatan sendiri malah dapat menimba ilmu serta pengalaman berguna.
“Saya tak menyesal ambil tawaran ini sebab bukan sahaja dapat duit tetapi juga menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang seperti ini.
“Saya rasa bersyukur sebab ada perubahan pada diri, kalau dulu saya memang tidak mahu ambil tahu tentang apa-apa.
“Dulu kalau boleh saya hanya mahu habiskan masa dengan kawan-kawan sahaja dan tak buat apa-apa, belanja sana sini.
“Tapi sekarang saya ada rasa nak belajar dan merasai benda-benda yang baru seperti ini, selain itu saya juga dapat merasai bagaimana penat lelahnya ayah saya mencari rezeki untuk kami sekeluarga,” jelasnya.
Selain Ammar, pelakon, Emma Sofea turut dipilih mewakili generasi muda sebagai wajah kempen terbaharu bersama rangkaian Teh Yeo’s.