Sekilas
- Filem animasi Papa Zola The Movie akan ditayangkan di Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, India, dan beberapa negara Timur Tengah mulai Disember ini hingga April tahun depan.
- Pengarah dan CEO MONSTA, Nizam Razak, mengumumkan kejayaan ini sebagai langkah membawa animasi tempatan ke pasaran antarabangsa.
- Tayangan awal Papa Zola The Movie mendapat sambutan hangat dengan tiket habis dijual sebelum tayangan rasmi pada 11 Disember.
Filem animasi terbitan MONSTA dan Astro Shaw melakar sejarah apabila bukan sahaja akan ditayangkan di Malaysia malah bakal menembusi pasaran antarabangsa.
Berita baik itu diumumkan sendiri pengarah Papa Zola The Movie yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MONSTA iaitu Nizam Razak pada malam tayangan filem berkenaan, baru-baru ini.
“Untuk 11 Disember ini Papa Zola The Movie akan ditayangkan di Malaysia, Brunei dan Singapura. Sebulan yang lalu, kita dapat pula pengesahan daripada pihak Indonesia untuk ditayangkan pada 16 Januari tahun depan.
“Sebenarnya kami minta ditayangkan pada tarikh yang sama di Malaysia tetapi pawagam di sana dah pack jadi tarikh yang kosong adalah pada tahun hadapan.
“Pada April pula kita akan masuk ke pasaran wayang di Vietnam di mana mereka sangat meminati Papa Zola,” katanya.
Lebih menarik, Papa Zola The Movie bukan sahaja bakal ditayangkan di sekitar negara ASEAN malah, turut melakar sejarah tersendiri apabila menembusi pasaran negara seperti India serta beberapa negara di Timur Tengah.
“Selain itu, kita juga akan menayangkan filem ini di India serta Timur Tengah seperti Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain juga pada April tahun hadapan,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Nizam yang juga merupakan penyumbang suara bagi karakter Papa Zola memaklumkan bahawa kejayaan ini sejajar dengan cita-cita mereka untuk membawa animasi tempatan ke persada antarabangsa.
“Ini juga adalah cita-cita kami, bukan sahaja nak buat filem yang berjaya di Malaysia malah berjaya ke pentas dunia.
“Jadi, selepas ini kami akan berehat sekejap sebelum untuk buat pula proses yang seterusnya seperti alih suara dan sebagainya,” kongsinya.
Sekadar info, Papa Zola The Movie bakal mula ditayangkan bermula 11 Disember ini di pawagam seluruh negara.
Meskipun belum ditayangkan secara rasmi, tayangan awal di beberapa lokasi pawagam yang terpilih dilihat mendapat sambutan apabila tiket tayangan awal sudah habis terjual.
Sinopsis:
Filem ‘Papa Zola The Movie’ mengisahkan Papa Zola, seorang bapa dan suami yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan permintaan anaknya, Pipi.
Walau bagaimanapun, banyak dugaan dan cabaran yang perlu dilalui Papa Zola dan keluarga sepanjang pengembaraan itu.
Buat para peminat francais animasi BoboiBoy dan Mechamato, jangan lepaskan peluang untuk dapatkan tiket dan tonton Papa Zola The Movie di pawagam berdekatan anda bermula 11 Disember ini.